
M Update, 08/07/2025 – Kabinet dijangka akan membincangkan mengenai tarif import 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia esok.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia bagaimanapun masih boleh berunding dengan AS berhubung tarif itu, hingga 1 Ogos.
“(Selama) 90 hari Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berunding dengan mereka, nampaknya mereka beri hingga 1 Ogos untuk lanjutkan (rundingan) tetapi dia sudah naikkan (tarif) daripada 24 kepada 25 peratus.
“Kita tunggu. Saya rasa Kabinet akan bincangkan perkara ini esok,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Kampus Taylor’s International School Kuala Lumpur (TISKL) di sini, hari ini.
Terdahulu, AS dilapor mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka itu adalah satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April.
Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dimuat naik di akaun Truth Social pada Isnin, Presiden AS Donald Trump berkata, angka 25 peratus itu jauh lebih rendah daripada perkara yang diperlukan untuk menghapuskan ketidakseimbangan defisit perdagangan yang AS alami dengan Malaysia.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, jumlah eksport komoditi negara ke AS hanyalah kira-kira RM20 bilion daripada jumlah keseluruhan RM186 bilion.
Bagaimanapun katanya, daripada jumlah RM20 bilion itu, Malaysia bukanlah pembekal eksklusif.
“Minyak kelapa sawit, produk oleokimia (dan) sarung tangan getah dia tak hasilkan, tetapi kita kena bersaing dengan negara lain,” katanya.
Johari dalam masa sama turut menolak risiko penyertaan Malaysia dalam BRICS akan menyebabkan AS menaikkan lagi tarif import dikenakan kepada negara.
Menurutnya, Malaysia juga perlu mencari pasaran baharu selain dari AS.
“Dalam dunia ini, kita ada lebih 190 negara. Takkan satu negara buat kita macam ini, kita rasa macam tak boleh bertahan.
“Tak boleh. Kita kena cari pasaran baharu,” katanya.
Sumber: Buletin Utama