
M Update, 07/11/2025 – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali bersama 21 pemimpin kanan syarikat itu mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat atas pertuduhan pilihan, menjadi anggota pertubuhan yang menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.
Pengakuan tersebut direkodkan di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar dalam prosiding yang diadakan di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang.
Semua tertuduh tersebut ialah Nasiruddin Mohd Ali, 66, isterinya, Azura Md Yusof, 58, dan anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33.

Sementara lapan tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.
Seramai 11 tertuduh lelaki pula ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.

Mengikut pertuduhan pilihan, mereka didakwa menjadi anggota kumpulan GISBH yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, di sebuah premis di Bandar Country Homes, Rawang antara bulan Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan asal iaitu menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu namun ditawarkan pertuduhan pilihan di bawah Akta Pertubuhan 1966 pada prosiding 30 Oktober lalu.
Pada Jumaat, Nasiruddin dan 12 tertuduh lelaki dihukum penjara 15 bulan kerana menjadi ahli kumpulan menyalahi undang-undang, lima tahun lalu.

Selepas menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh selama 13 bulan dan 20 hari, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan anak bekas pengasas Al-Arqam serta 11 pemimpin tertinggi syarikat itu akan dibebaskan selepas solat Jumaat.
Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh berkata, meskipun Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara selama 15 bulan, namun jika ditolak dengan tempoh cuti umum dan hujung minggu, ia membolehkan mereka dibebaskan serta-merta bermula Jumaat.
Sementara isteri Nasiruddin dan lapan tertuduh wanita yang lain, didenda masing-masing RM4,500 atas pertuduhan sama.
Tertuduh wanita diperintah ke penjara selama tujuh bulan sekiranya gagal membayar denda. – Sinar Harian