Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Tidak Terburu-buru Batalkan Perjanjian ART Dengan AS

Datuk Seri Anwar Ibrahim

M Update, 24/02/2026 – Malaysia tidak akan tergesa-gesa untuk membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai pada 26 Oktober tahun lalu susulan keputusan Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif import yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memerlukan masa dan ruang secukupnya untuk meneliti perkara tersebut secara menyeluruh, termasuk mempertimbangkan kepentingan serta kesannya terhadap ekonomi negara sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata dalam menilai perkembangan berlaku di AS itu kerajaan perlu melihat tindak balas dibuat Trump ke atas keputusan mahkamah itu.

Berhubung soalan Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menggesa supaya kerajaan membatalkan ART Malaysia-AS yang dimeterai tahun lalu, Perdana Menteri meminta kerajaan diberi ruang untuk menilai kesannya terhadap ekonomi negara.

Beliau berkata kerajaan perlu diberi sedikit ruang dan masa sebelum membuat sebarang keputusan, kerana walaupun sesuatu tindakan itu dilihat tegas dan mendapat perhatian, risiko terhadap ekonomi negara perlu diteliti terlebih dahulu.

Menurutnya, isu maruah dan kedaulatan adalah perkara berbeza, namun dalam soal strategi perdagangan, kepentingan negara mesti menjadi pertimbangan utama.

Beliau turut menegaskan bahawa beliau tidak mempertikaikan pandangan mana-mana pihak, sebaliknya hanya meminta agar kerajaan diberikan ruang untuk membuat keputusan secara menyeluruh dan berhemah. – BH