Selain Khamis, Batik Digalak Setiap Hari Bekerja

M Update, 07/04/2026 – Kerajaan menggalakkan penjawat awam mengenakan pakaian batik sepanjang hari bekerja sebagai alternatif kepada pakaian pejabat, susulan pelaksanaan langkah penjimatan tenaga dengan menetapkan suhu penyaman udara minimum pada 24 darjah Celsius.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, memaklumkan bahawa saranan tersebut selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian UP.7.2.3 berkaitan etiket pakaian dan penampilan pegawai awam.
Menurut beliau, berdasarkan peruntukan di bawah perenggan 5, Jadual 1 (iii) bagi pakaian pegawai lelaki serta perenggan 8, Jadual 2 (ii) bagi pegawai wanita ketika bertugas, pemakaian batik diwajibkan pada setiap Khamis dan digalakkan untuk dipakai pada hari-hari bekerja lain sebagai pilihan pakaian rasmi.
Perkara itu dinyatakan menerusi surat edaran kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri yang turut dikongsikan di laman Facebook Jabatan Perkhidmatan Awam.
Wan Ahmad Dahlan turut menjelaskan bahawa Ketua Jabatan mempunyai budi bicara untuk membenarkan pegawai memakai baju korporat atau pakaian kerja lapangan pada hari tertentu bagi tujuan khusus ketika menjalankan tugas, selaras dengan peruntukan di bawah perenggan 13 Ceraian UP.7.2.3.
Beliau berkata, pegawai juga dibolehkan mengenakan baju korporat pada hari bekerja selain Khamis, namun ketetapan itu tidak terpakai kepada pegawai yang diwajibkan memakai pakaian seragam.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, memaklumkan bahawa langkah kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan akan diperketatkan, termasuk menetapkan suhu minimum penyaman udara pada 24 darjah Celsius.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk menunjukkan contoh dalam amalan penjimatan tenaga, di samping menjadi antara pendekatan proaktif dalam menangani cabaran krisis tenaga global.
kampungbet kotabet kampungbet kampungbet