Input your search keywords and press Enter.

Siapa Kata Melayu Tak Hebat?

M Update, 18/2/2019 – Anda mungkin mengenali Admi ketika beliau memenangi kejuaraan Sepang 1k 2017 dengan Suprima S R3 nombor 82 yang dipandu oleh beliau dan rakan sepasukan James Veerapen.

Namun ramai yang tidak tahu bahawa anak Melayu dari Subang Jaya ini sebenarnya adalah pelatih rasmi pemanduan untuk tiga jenama besar dunia – Porsche, Land Rover dan Jaguar.

Namun begitu apa yang Careta kagumkan ialah Admi ialah seorang pengajar rasmi Porsche AG, iaitu syarikat induk jenama kenderaan prestasi itu di Jerman.

Selepas lebih 20 tahun di dalam bidang kewartawanan automotif ini, penulis sudah menghadiri ratusan pelancaran kenderaan berskala dunia di pelbagai negara namun tidak ada seorang pun pemandu Asia (selain Jepun) yang diberi tugas untuk mengajar media dan perseorangan (selalunya pemilik) dalam pemanduan kenderaan baharu.

Kini, Asia Tenggara, terutamanya Malaysia sudah boleh mendabik dada kerana akhirnya syarikat automotif dunia mengiktiraf kebolehan anak watan kita untuk melatih pemandu dari seluruh dunia, dan bukan dengan calang-calang kenderaan, tetapi Porsche, Jaguar dan juga Land Rover.

Admi Shahrul Ahmad Saffian, berusia 48 tahun, adalah anak kelahiran Selangor yang memang penduduk jati Subang Jaya. Beliau juga bersekolah di Subang Jaya tetapi kini menetap di Putra Heights.

Dikurniakan dua cahaya mata, isterinya, Natasya Idha Mohd Dahlan pula berasal dari Ampang.

Minat Admi kepada kenderaan memang bermula dari kecil. Malah pada tahun 1990, Admi yang baru berusia 19 tahun ketika itu bekerja sambilan sebagai marshal litar di batu Tiga.

Di litar legenda yang musnah akibat ketamakan ahli politik itu, Admi menimba ilmu perlumbaan.

“Saya menjadi flag marshall dan recovery crew setiap hujung minggu,” ujar Admi.

Sejarah sukan bermotor beliau bermula pada tahun 1995 dengan perlumbaan Saga Cup. Beliau masuk dengan kenderaan sendiri di bawah kategori novis dan pada perlumbaan pertama, Admi mendapat tempat keempat.

Pada perlumbaan kedua, Admi yang berlumba menggunakan duit sendiri muncul sebagai pemenang tempat kedua.

Tahun yang sama, Admi berjumpa dengan penaja pertamanya – jenama pelincir tempatan Hi-Rev. Beliau terus berlumba di dalam Saga Cup dan dalam tahun 1996, beliau berlumba di bawah payung Shell pula.

Pada tahun 1997, Admi menyepikan diri selepas beliau berkahwin dan menjadi bapa. Masalah ketiadaan penaja juga merumitkan beliau untuk terus berlumba.

Namun begitu bakat yang ada pada Admi masih diingati ramai dan dalam tahun 2000, pasukan jenama kereta sport British, TVR (ketika itu TVR mempunyai kilang pemasangan di Pelabuhan Klang) menjemput Admi untuk berlumba di dalam siri Merdeka Millenium Endurance (MME).

Admi yang memandu TVR Chimaera itu menerima asakan hebat dari kereta-kereta lumba yang jauh lebih baik seperti Porsche GT3 Cup Car, Lotus Elise, Mitsubishi Evolution dan sebagainya.

“TVR itu bukan mudah untuk dipandu. Ya, ia mempunyai enjin V8 5,000 cc di hadapan kerangka yang ringan dan meliuk. Bayangkan anda duduk di atas gerodot gergasi dan anda perlu mengawalnya dengan hanya menggunakan tali rafia,” terang Admi yang Careta temui di Putra Heights baru-baru ini.

Biar dipandang sinis, TVR yang dipandu oleh Admi berjaya mendapat tempat keempat dalam perlumbaan tahun 2000 itu.

Dalam tahun 2001, TVR Admi menyapu bersih kenderaan lain dan memenangi perlumbaan MME tahun itu.

Ramai yang terdiam.

Untuk tahun 2002, Admi berhijrah ke Lotus dan memandu Elise Mk 1 untuk MME juga. Tahun hadapannya, Admi berhenti dan bekerja untuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai pengurus koordinator acara-acara lumba motor di sana.

Di bawah bantuan beliau, SIC melihat kejayaan permulaan penganjuran Malaysia Super Series (MSS), perlumbaan bersiri tempatan yang pertama kali dianjurkan oleh SIC sendiri.

MSS masih dianjurkan sehingga kini dan mendapat sambutan yang hangat.

Admi juga membantu dalam pelancaran siri Drag Battle tetapi sayangnya, siri itu sudah ditamatkan.

Walaupun bekerja di SIC, Admi mencuri masa untuk menjadi pelatih pemanduan bila ada masa terluang.

Kali pertama beliau bertugas sebagai pelatih rasmi ialah dalam tahun 1997 bersama SADRA, Suhaimi Advanced Driving Academy.

Ketika itu, beliau menggunakan kenderaan seperti Proton Wira dan juga Kancil dalam melatih kakitangan syarikat-syarikat dalam skil pemanduan.

Pada tahun 2005, Admi meninggalkan SIC untuk menjadi pelatih kepada SIDRA (Sepang International Drive and Racing Academy) yang menggunakan Porsche Cayman sebagai kenderaan latihan.

“Mungkin jodoh saya dengan Porsche bermula dengan SIDRA. Saya melatih orang perseorangan yang mahu belajar cara pemanduan berprestasi tinggi dan juga pemilik-pemilik Porsche,” kata Admi.

Pada tahun 2012, ketika beliau sedang menyusun kon-kon untuk salah satu latihan pemanduan Porsche, beliau ditegur oleh seorang lelaki berkulit putih yang menawarkan dirinya untuk membantu Admi menyusun kon.

Lelaki tersebut bertanyakan banyak soalan kepada Admi menegnai latihan dan susunan  kon tersebut dan Admi, seperti yang penulis tahu, tidak pernah kedekut ilmu dan berkongsi apa yang beliau tahu.

Tanpa Admi sedari, Mat Saleh itu ialah Arnt Bayer, Ketua Pegawai Operasi untuk Sime Darby Porsche Malaysia. 

Admi diminta hadir ke pejabat Arnt dan akhirnya pada tahun 2012 itu, Admi rasmi menjadi Ketua Pelatih Pemandu Porsche untuk Sime Darby Porsche. 

Usaha dan kerja keras beliau tidak sia-sia kerana beliau dihantar untuk menghadiri latihan dan ujian Pelatih Porsche Global di Jerman dalam tahun 2015.

Admi bukan sahaja lulus, beliau mendapat mata tertinggi di antara kesemua pelatih yang hadir pada sesi dua minggu itu. 

Ya, Admi ialah penuntut terbaik di seluruh dunia untuk ujian pemanduan Porsche Global tahun 2015.

Ini jelas membuka mata ramai orang asing akan kebolehan rakyat Asia, terutama Malaysia di dalam industri ini.

Pada tahun 2015 juga, Admi menjalani latihan dan lulus sebagai pelatih Land Rover Twin Terrapot – alatan pemanduan off-road oleh jenama UK itu.

Dalam tahun 2017, Admi dinobat sebagai Ketua Jurulatih Pemandu untuk Jaguar Asia Pasifik.

Julai 2017, Admi dianugerahkan pula sebagai Ketua Jurulatih Pemandu untuk Land Rover Asia Pasifik.

Dengan Porsche, Admi merantau ke seluruh dunia untuk menghadiri sesi-sesi pelancaran model-model baharu Porsche atau sesi latihan pemanduan di Finland (pemanduan salji).

Admi ialah salah sseorang dari dua Pengajar Pemanduan Porsche dari Asia – seorang lagi ialah Kenneth Lim, yang juga dari Malaysia!

Pengalaman paling manis untuk Admi ialah bila beliau diminta oleh Mark Webber untuk memberikannya tips ketika beliau memandu Webber mengelilingi litar Circuit Ricardo Tormo di Valencia.

“Mark duduk di sebelah saya dan berkata Admi, tolong tunjukkan saya racing lines di litar ini ya,” cerita Admi sambil tersenyum.

Di Malaysia, Admi kini memandu sebuah trak pikap Ford Ranger tahun 2005, sebuah Perodua Kancil tahun 1996 dan untuk isterinya, sebuah Perodua Myvi Advance tahun 2018.

“Perodua mudah untuk dijaga dan lasak, memang terbaik untuk pemanduan urban. Untuk perjalanan jauh, sistem gantungan memang perlu diubahsuai sedikit,” jawab Admi bila ditanya mengenai pilihan kereta untuk isterinya.

Selain dari itu, Admi memang mempunyai beberapa orang kekasih gelapnya. 

Mereka ialah sebuah Proton Satria GTI spek perlumbaan, sebuah Toyota Corolla TE71 XE dengan enjin 1.6L dan sebuah Proton Saga 1.5L, juga spek perlumbaan.

“Saya dapat banyak alat ganti untuk TE71 itu dari Filipina. Saya beli dari jiran mertua saya. Corolla Liftback itu mempunyai hanya seorang pemilik dan buku manual serta kelengkapan tool-kit semua masih ada!” 

Namun begitu, TE71 itu kini bernadikan enjin 4AG agar ia mampu bersaing di litar.

Sebelum Admi dibenarkan balik ke rumah oleh penulis, Admi ingin berkongsi nasihat mengenai keselamatan pemanduan di jalanraya.

“Jangan laju ketika hujan kerana masalah aquaplanning memang wujud dan bila tayar terangkat, tidak ada apa yang anda boleh lakukan. Sistem elektronik seperti traction control juga tidak boleh berfungsi kerana tayar sudah terangkat,” tegas Admi.

“Jika anda belum pernah mengalaminya, ia bukan alasan untuk terus memandu laju ketika hujan kerana sekali terkena, anda mungkin tidak hidup untuk memandu lagi,” nasihat Admi sebelum beredar.

Sumber : careta.my

Leave a Reply