M-Update,27/3/2019, PUTRAJAYA: Mulai 1 April ini mana-mana individu dan organisasi yang menguruskan kanak-kanak boleh menyemak rekod jenayah seksual pekerja atau bakal pekerja melalui Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK). Sistem berkenaan mempunyai lebih 3,000 nama pesalah jenayah seksual terhadap kanak-kanak sejak 2017 hingga Februari 2019 mengikut Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 (Akta 792).
Sistem eDKK dirasmikan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail semalam.Yang turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Hannah berkata, pihak berkaitan termasuk ibu bapa yang ingin mengambil pengasuh atau pemilik taska yang ingin mengambil pekerja boleh membuat semakan melalui sistem itu bagi memastikan individu yang diambil bebas rekod jenayah terhadap kanak-kanak.Katanya, mereka hanya perlu hadir ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri atau daerah dan mengemukakan kad pengenalan untuk pendaftaran permohonan semakan tanpa dikenakan sebarang bayaran.
“Pegawai akan menyemak nombor kad pengenalan individu yang dirujuk. Keputusan akan menunjukkan sama ada individu berkenaan ‘ada rekod’ atau ‘tiada rekod’.“Jika permohonan disemak di JKM negeri, maklum balas carian akan diperoleh serta merta. Jika dibuat di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah, keputusan carian akan mengambil masa lima hari bekerja.
“Selain itu, jika keputusan semakan menunjukkan ‘ada rekod’, kita perlukan sedikit masa juga untuk memeriksa sama ada kes pesalah berkenaan sedang dirayu di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas majlis perasmian eDKK.Selain itu, Hannah turut mengingatkan, walaupun sistem berkenaan boleh dijadikan rujukan, namun ibu bapa atau pihak berkaitan perlu sentiasa berwaspada terhadap individu yang diambil bekerja.
“Walaupun seseorang itu tiada rekod, namun tidak semestinya dia tidak akan melakukannya kerana statistik menunjukkan kebanyakan pesalah terdiri daripada mereka yang pertama kali melakukan jenayah seksual kanak-kanak,” katanya.Katanya, sistem eDKK berkenaan adalah bagi fasa pertama yang dibangunkan kementerian itu dalam usaha menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak, sebelum sistem yang lebih komprehensif dibangunkan kelak termasuk memperketat undang-undang berkaitan.
–BHarian