Input your search keywords and press Enter.

2 Lagi Suspek Penipuan Kemboja Dicekup

M Update, 25/2/2019 – Dua lagi suspek kes penipuan pekerjaan membabitkan 47 rakyat Malaysia di Kemboja ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan di bandar raya ini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah, berkata kedua-dua suspek ditahan pada jam 5 petang, susulan maklumat risikan.

Seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 35 tahun ditahan di dua rumah berasingan iaitu di Traffic Garden dan Taman Chung Hua.

Polis turut merampas telefon bimbit, kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan Mastercard Bigpay.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan jika siasatan terhadap mereka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 24 jam, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuching jam 2 petang ini.

Sebelum ini, seorang lelaki warga tempatan berusia 35 tahun yang juga suspek pertama direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan pekerjaan di Kemboja membabitkan 47 warga Malaysia.

Mereka merangkumi 40 individu berasal dari Sarawak dan masing-masing tiga dari Sabah serta Selangor, selain seorang dari Kuala Lumpur.

Kesemua mereka ditahan dalam serbuan pihak berkuasa di dua rumah berasingan di Poipet dalam Wilayah Banteay Mancheay, kira-kira 446 kilometer ke utara Phnom Penh pada 11 Disember lalu.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *