Input your search keywords and press Enter.

Program Matrikulasi : Kuota Sedia Ada Dikekalkan

M Update, 25/4/2019 – Kabinet sebulat suara mengekalkan kuota kemasukan dengan 90 peratus untuk pelajar Bumiputera, manakala 10 peratus kepada bukan Bumiputera.

Pada masa yang sama, Kabinet juga bersetuju supaya jumlah pengambilan pelajar untuk memasuki Program Matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun ini, ditingkatkan kepada 40,000 tempat, berbanding 25,000 pada tahun lalu. Jumlah pelajar Bumiputera yang berpeluang memasuki matrikulasi pada tahun ini, meningkat daripada 22,500 kepada 36,000 orang, manakala jumlah pelajar bukan Bumiputera meningkat daripada 2,500 kepada 4,000 orang.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata keputusan itu dibuat selepas isu kuota kemasukan ke Program Matrikulasi KPM dibangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Usaha ini dilaksanakan bagi memastikan pelajar cemerlang terus mendapat peluang terbaik melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

Kerajaan melihat wujud keperluan utama menambah bilangan pelajar dalam bidang sains dan kapasiti yang ada pada program matrikulasi wajar dimaksimumkan untuk tujuan ini. Keputusan ini juga dilihat sebagai kaedah terbaik memastikan program matrikulasi dapat memberikan peluang pendidikan kepada semua kaum,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini, semalam.

Maszlee berkata, kementeriannya akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan berkaitan kos berikutan peningkatan jumlah kemasukan pelajar terbabit dalam masa terdekat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik. Jemaah Menteri meminta kementerian untuk menilai pendekatan strategik yang bersesuaian, termasuk menggunakan premis dan kepakaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menampung pertambahan yang diputuskan ini,” katanya. – BH Online

Leave a Reply