Input your search keywords and press Enter.

Israel bakal hadapi pilihan raya sekali lagi

M Update, 28/05/2019 –  Israel semakin hampir melakukan pilihan raya awal apabila rang membubarkan Parlimen melepasi bacaan pertama pada awal pagi ini, walaupun baharu mengadakan pilihan raya umum bulan lalu.

Berhadapan kekacauan disebabkan kegagalan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, membentuk kerajaan campuran selepas pilihan raya April lalu, Knesset mengundi 66 berbanding 44 menyokong pilihan raya baru, dijadualkan pada 17 September ini, menurut laman web Parlimen.

Lewat hari ini, jawatankuasa mengadakan pertemuan untuk menyediakan rang untuk bacaan kedua dan ketiga, yang jika lulus akan menjadikan ia sebagai undang-undang.

Tiada jadual disiarkan bagi undian akhir kedua mengenai perundangan itu, yang lulus bacaan pertama malam kelmarin.

Parti Likud pimpinan Netanyahu menyerahkan rang untuk membubarkan Parlimen semalam ketika tarikh akhir pada malam esok untuk membentuk kerajaan campuran gagal dengan rundingan menemui jalan buntu.

Bekas Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, menghalang perjanjian dengan enggan bertolak ansur mengenai tuntutan utama, dan beliau tidak menunjukkan tanda menyokong semalam.

Lieberman mahukan jaminan perundangan supaya penduduk Yahudi Ortodoks menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib, seperti penduduk Yahudi Israel lain, diluluskan tanpa perubahan.

Partinya menguasai lima kerusi di Parlimen dan Netanyahu memerlukan sokongannya untuk membentuk kerajaan campuran. – AFP

Leave a Reply