Input your search keywords and press Enter.

Lawatan PM ke Jepun Cerminan Keakraban Signifikan Dua Negara

M Update, 29/5/2019 – Lawatan kerja tiga hari Tun Dr Mahathir Mohamad ke Jepun bermula hari ini, adalah gambaran dinamisme hubungan dua hala kedua-dua negara sejak sekian lama.

Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Kennedy Jawan, berkata lawatan kerja Perdana Menteri kali ini iaitu yang keempat selepas mengambil alih tampuk pemerintahan Mei tahun lalu, membawa bersama keakraban hubungan amat signifikan.

Katanya, paling menjadi tumpuan ialah kehadiran Dr Mahathir pada Persidangan Nikkei ke-25 bagi menyampaikan ucaptama dan mengadakan dialog bersama peserta, Khamis ini. Ini adalah kali ke-21 beliau menghadiri Persidangan Nikkei sejak diadakan pada 1995 dan semestinya ramai mahu mendengar pandangan Dr Mahathir mengenai pelbagai topik dan isu, khususnya menyentuh kepentingan bersama global.

Hubungan kukuh dua negara ini diperkukuhkan dengan kejayaan Malaysia menerbitkan bon Samurai baru-baru ini. Selain sektor tradisi seperti pembuatan dan automotif, Jepun menzahirkan minat untuk meneroka pelbagai cabang baharu yang mencetuskan sentimen positif dari segi pelaburan,” katanya. Kennedy berkata demikian pada sidang media bersama wartawan Malaysia di Imperial Hotel di sini semalam. Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadual tiba di Tokyo malam ini. Turut mengiringi ialah Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kennedy berkata, Dr Mahathir dijadual menghadiri majlis Dialog Perniagaan Malaysia-Jepun bersama lebih 20 penggerak industri tempatan dan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Situasi Semasa Malaysia dan Jangkaan Pelaburan dari Jepun’. Ia dianjur bersama oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO).

Beliau berkata, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) sebelum diraikan dalam majlis makan malam sempena Persidangan Nikkei yang bakal dihadiri rakan sejawatannya, Shinzo Abe. Lawatan Dr Mahathir akan diakhiri dengan mesyuarat bilateral bersama Abe di pejabat Perdana Menteri Jepun itu pada Jumaat ini. Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkembangan isu semasa dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Leave a Reply