Input your search keywords and press Enter.

Dr M : Pastikan Dunia Media Sosial Memberi Perubahan Positif

M Update, 29/5/2019 – Facebook dan penyedia platform lain digesa bekerjasama dengan kerajaan serta agensi penguat kuasa undang-undang bagi memastikan dunia media sosial kekal menjana perubahan positif, berbanding kesan negatif.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ruang kerjasama lain yang berupaya diteroka kedua-dua pihak, khususnya Facebook adalah ke arah pelaksanaan Laporan Penguatkuasaan Standard Komuniti. Walaupun wujud langkah penguatkuasaan terhadap kenyataan bagi menyuntik kebencian ketika ini, namun masih ada ancaman dalam bentuk kenyataan lain yang mampu menjejaskan keselamatan dan keharmonian negara.

“Kebebasan bersuara bukan ‘lesen’ untuk menyalahgunakan sesuatu, tetapi ia adalah tanggungjawab. Kebebasan bersuara yang tidak dibendung oleh pekerti mulia manusia akhirnya sekadar mengundang malapetaka kepada masyarakat,” katanya.

Kepelbagaian budaya dan tradisi di Malaysia menyebabkan setiap kenyataan dan entri di laman sosial yang berbaur kebencian mencetuskan kesan berbeza. Justeru, jika perkara ini tidak ditangani secara tuntas, ia bakal mengundang impak negatif. Kita memperakui bahawa penyedia perkhidmatan media sosial melakukan pelbagai usaha menerusi penetapan automatik bagi menyaring sebarang entri tidak sesuai seperti kenyataan berbaur kebencian, keganasan dan pornografi kanak-kanak menggunakan Kandungan Dijana Pengguna (UGC).

Bagaimanapun, cabaran semasa ialah ke arah pemantauan lebih meluas menerusi UGS supaya bahan yang menyentuh sensitiviti agama, kenyataan politik, hasutan dan hak asasi manusia dapat ditangani,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Facebook Malaysia, di sini, semalam.

Dr Mahathir berkata, kerajaan memperakui bahawa Facebook dan beberapa penyedia perkhidmatan laman sosial ketika ini menjalin kerjasama dengan Majlis Kawalan Telekomunikasi ASEAN berhubung keperluan menangani rangkaian ancaman di ‘alam maya’. Sehubungan itu, beliau menyuarakan harapan supaya semua pihak berganding bahu bagi memastikan senarai larangan kandungan tidak sesuai di media sosial, diperluaskan dengan mencakupi jenis ancaman baharu dan dipadam daripada tatapan umum.

“Saya percaya inisiatif strategik terbaru Facebook, iaitu F8 dan ‘Fast Forward Together’ (Memacu Bersama) akan dapat membantu Malaysia melakar kejayaan ke arah pembangunan ekonomi digital lebih mapan,” katanya.

Seiring pelancaran 5G di Malaysia baru-baru ini, Perdana Menteri berharap Facebook bekerjasama dengan penggiat tempatan dan berkongsi teknologi terkini bagi memperkasa capaian internet, selain membantu pembangunan komuniti dalam mengawal isi kandungan yang mengundang risiko negatif terhadap masyarakat. Walaupun Malaysia berpegang teguh kepada prinsip supaya internet diberi secara percuma dan terbuka, ia harus berada dalam sempadan perundangan negara. Apa yang haram di luar talian, lazimnya haram juga dalam talian. – BH Online

Leave a Reply