Input your search keywords and press Enter.

Bayi Maut Dicekik, Ibu Parah Ditikam Dengan Pemutar Skru

M Update, 21/11/2019 – Seorang wanita sanggup mencekik bayi perempuan berusia tiga minggu selepas menikam belakang kepala ibu bayi berkenaan dengan pemutar skru akibat cemburu dalam kejadian di sebuah apartmen di Batu Caves, dekat sini, Khamis lalu.

Bayi berkenaan disahkan meninggal dunia jam 4.30 pagi, kelmarin, selepas hampir enam hari bertarung nyawa di Hospital Selayang, manakala ibunya dilaporkan masih koma.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7 pagi daripada seorang ahli keluarga mangsa.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang juga seorang wanita berusia 30 tahun parah selepas ditikam menggunakan pemutar skru di bahagian belakang kepala, manakala bayinya dicekik.

“Hasil siasatan, kami menahan seorang wanita berusia 25 tahun yang juga suspek utama serta pembantu rumahnya, seorang wanita berusia 19 tahun pada hari kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Katanya, polis turut menahan suami suspek yang berusia 27 tahun untuk membantu siasatan. Fadzil berkata, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai menyerang mangsa yang dikatakan ada hubungan sulit dengan suaminya sehingga melahirkan seorang anak. Katanya lagi, polis turut menjumpai pemutar skru yang digunakan suspek menikam mangsa di lokasi.

“Dua suspek wanita itu direman selama empat hari bermula 15 hingga 19 November lalu sebelum disambung reman semula selama lima hari sehingga 23 November ini untuk siasatan lanjut.

“Suami suspek pula direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 November ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply