Input your search keywords and press Enter.

JIM : Lapor Jika Ada Masalah Dengan Warga Asing

M Update, 4/12/2019 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak meminta orang ramai atau penduduk yang mempunyai sebarang masalah membabitkan warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) di kawasan mereka agar melaporkannya serta menyalurkan maklumat supaya tindakan segera dapat diambil.

Pengarahnya, Kamalludin Ismail berkata, pihaknya sentiasa membuat operasi dan pemeriksaan terhadap warga asing terutama berdasarkan aduan atau maklumat yang disalurkan orang ramai.

“Jika mempunyai isu berkaitan warga asing, sila laporkan segera kerana prosedur operasi standard (SOP) JIM, apabila mendapat aduan, risikan serta pemantauan akan dibuat bagi memastikan aduan diterima adalah benar dan kemudian tindakan penangkapan akan dijalankan bagi semakan dokumen dan sebagainya.

“Kita akan ambil tindakan maka salurkan butiran di mana kumpulan warga asing berkenaan, berapa ramai dan sebagainya agar JIM dapat menjalankan risikan dan pemeriksaan,” katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Imigresen Peringkat JIM Perak 2019 di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di Ipoh, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kerisauan isu kebanjiran warga asing di beberapa kawasan di sekitar Manjung terutama kawasan perindustrian Kampung Acheh, yang mengundang rasa kurang selesa penduduk setempat.

Kamalludin berkata, jika penduduk di Manjung mempunyai isu berkaitan warga asing boleh melaporkannya di Pejabat Penguatkuasaan JIM Cawangan Lumut supaya JIM boleh menjalankan risikan dan pemeriksaan. Bagaimanapun masyarakat perlu faham bahawa tidak semua warga asing adalah PATI dan di Perak sahaja terdapat kira-kira 78,000 warga asing yang mempunyai pas pekerja asing.

“Kadang-kadang aduan diterima adalah membabitkan warga asing yang dianggap PATI, namun sebenarnya mereka mempunyai dokumen atau pas kerja yang sah. Tapi kita tetap akan menjalankan pemeriksaan dan semakan dokumen setiap aduan yang jika didapati tiada dokumen sah kita akan tahan dan sebaliknya,” katanya.

Akhbar melaporkan Isnin lalu melaporkan seorang wanita berdepan detik cemas lebih tujuh minit apabila kereta dipandunya ditahan seorang lelaki bertatu yang tidak dikenali dalam kejadian berhampiran kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan.

Lebih menakutkan, lelaki yang dipercayai warga Myanmar dan berada di bawah pengaruh alkohol itu cuba membuka pintu belakang kereta dipandu wanita berkenaan yang juga tempat duduk anak lelaki bongsunya berusia dua tahun yang diletakkan dalam kerusi keselamatan bayi.

Zalliza Othman, 42, turut mendakwa kawasan berkenaan memang ramai warga asing sejak dahulu lagi dan mereka juga sering menimbulkan masalah sehingga mengganggu ketenteraman awam. – HM Online

Leave a Reply