Input your search keywords and press Enter.

KKM : Kesiapsiagaan Negara Di Tahap Terbaik

M Update, 3/2/2020 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menolak dakwaan pihak tertentu yang menyatakan ia lewat menangani wabak koronavirus baharu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, fasiliti kesihatan dan pasukan bantuan berada pada tahap terbaik, membuktikan kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi penularan wabak yang bermula di Wuhan, China.

“Kita faham kebimbangan rakyat dan kalau dikatakan KKM lewat bertindak, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) di Sungai Buloh bertindak (diaktifkan) seawal 5 Januari…sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersidang,” katanya yang menjadi tetamu khas Buletin Utama TV3 bagi menerangkan perkembangan terkini koronavirus baharu semalam.

Dr Dzulkefly berkata, kebimbangan itu tidak wajar kerana KKM mempunyai pengalaman dalam menghadapi krisis kesihatan seperti virus nipah, zika dan H1N1 dan pengalaman tersebut meletakkan keupayaan fasiliti kesihatan negara di tahap terbaik.

“Malahan, barisan hadapan yang mengendalikan kes ini menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap. Ini juga termasuklah 57 hospital yang dikenal pasti sebagai hospital saringan dan daripadanya, 26 bersedia untuk merawat.

“Namun kita tidak mahu selesa walaupun Indeks Keselamatan Kesihatan Global meletakkan Malaysia berada di kedudukan ketiga di Asia – di belakang Thailand dan Korea Selatan daripada segi kesiapsiagaan negara dan keupayaan menangani penyakit berjangkit,” katanya.

Mengulas mengenai misi bantuan membawa pulang rakyat Malaysia dari China, Dr Dzulkefly menjelaskan terdapat beberapa protokol keselamatan yang perlu dilalui oleh rakyat Malaysia terbabit apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) nanti.

“Terdapat empat fasa protokol yang perlu dilalui iaitu fasa prapelepasan, dalam penerbangan, tiba di KLIA dan selepas dilakukan saringan seperti dihantar ke pusat rawatan yang ditentukan.

“Saringan bagi penumpang ini sudah dilakukan oleh pihak China dan hanya melibatkan penumpang yang sihat. Bagi yang tidak sihat, mereka akan ditahan dan dirawat​ di sana (China)​,” katanya.

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif koronavirus baharu yang dilaporkan di Malaysia kekal lapan dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah seramai 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal. – HM Online

Leave a Reply