Input your search keywords and press Enter.

Latheefa Sahkan Letak Jawatan

M Update, 6/3/2020 – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mengesahkan sudah meletakkan jawatannya.

Latheefa berkata, beliau menyerahkan surat peletakan jawatan itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu. Latheefa bagaimanapun berkata, perkara itu tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ia adalah keputusan saya sendiri. Spekulasi yang mengatakan saya ditekan untuk berbuat demikian adalah tidak berasas. “Niat saya adalah untuk kembali praktis sebagai peguam hak asasi, ” katanya melalui kenyataan, di sini hari ini.

Pada masa sama, Latheefa berkata, beliau berjumpa dengan Perdana Menteri, semalam bagi memberi penjelasan berhubung keputusannya untuk meletakkan jawatan.

“Kami mengadakan perbincangan yang sangat mesra dan beliau faham berhubung kedudukan saya. “Saya juga menjelaskan kepada Perdana Menteri berhubung usaha dan tindakan yang sedang dilaksanakan untuk memulangkan semula wang 1MDB di luar negara. Beliau sangat menyokong penuh usaha ini, ” katanya.

Katanya, beliau turut mengambil peluang melalui pertemuan itu bagi mendoakan kejayaan buat Muhyiddin dan kerajaan baharu dalam usaha menjaga kebajikan dan kepentingan buat rakyat. Beliau berkata, pihaknya juga sudah menemui dan memberi taklimat kepada timbalannya, Datuk Seri Azam Baki serta ketua jabatan SPRM untuk memastikan penyerahan tugas dapat dilaksanakan secara teratur.

“SPRM akan melaksanakan tugas seperti biasa di bawah barisan pegawai saya yang berkebolehan.“Saya melepaskan jawatan saya dengan penuh keyakinan bahawa SPRM akan terus berusaha tanpa lemah dan tanpa kompromi dalam perjuangan menentang rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pesalah politik.

“Saya juga berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, rakan di SPRM dan rakyat untuk sokongan yang saya terima sepanjang berkhidmat, ” katanya.

Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Jun tahun lalu, bagi tempoh kontrak selama dua tahun. Beliau menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon kontraknya dipendekkan daripada yang sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Pelantikan Latheefa bagaimanapun mengundang kritikan, antara lain dikatakan bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) mengenai lantikan politik dan menjejaskan fungsi SPRM sebagai badan bebas. – BH Online

Leave a Reply