Input your search keywords and press Enter.

Ribuan Berdemonstrasi Di Jakarta Kecam Presiden Perancis

M Update, 3/11/2020 – Ribuan umat Islam semalam mengadakan demonstrasi membantah kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron yang disifatkan mereka sebagai provokatif, dan memfitnah agama Islam baru-baru ini.

Mereka berkumpul di sekitar kawasan luar Kedutaan Besar Perancis di Jalan MH Thamrin, Jakarta Pusat, di sini, tanpa menghiraukan kenyataan bahawa kota Jakarta masih mencatatkan kes pandemik COVID-19 yang tinggi.

Presiden Perancis berkenaan sebelum ini mendapat kecaman pelbagai pihak berikutan kenyataan yang dikeluarkan beliau susulan kejadian bunuh seorang guru yang dikatakan menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW dalam kelasnya semasa mengajar.

Pada 31 Okt lepas, Presiden Joko Widodo (Jokowi) menyatakan kecaman Indonesia, negara berpenduduk Islam terbesar di dunia itu terhadap kenyataan Presiden Macron yang disifatkan melukai perasaan umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metrojaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus, hampir 8,000 anggota polis ditugaskan bagi mengawal demonstrasi aman berkenaan, selain mengawal satu lagi demonstrasi aman oleh ribuan golongan pekerja yang membantah Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang berlangsung di kawasan Medan Merdeka dan Patung Kuda (Horse Statue) berhampiran Istana Negara.

Sumber: Bernama