Input your search keywords and press Enter.

Majlis Perkahwinan Tidak Dibenarkan Di Kawasan PKPB Di Kelantan

M Update, 11/12/2020 – Kerajaan negeri tidak membenarkan sebarang penganjuran majlis keramaian termasuk majlis perkahwinan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan Dr Izani Husin berkata, empat daerah di negeri itu masih dikenakan PKPB iaitu Kota Bharu, Machang, Tanah Merah dan Pasir Mas.

Menurutnya, kawasan berkenaan tidak dibenarkan menganjurkan sebarang majlis sehingga PKPB ditamatkan.

“Bagaimanapun, majlis kenduri, perkahwinan, pertunangan, resepsi, aqiqah, tahlil, perjumpaan semula (reunion) dan permukiman (retreat) adalah dibenarkan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mengikut SOP ditetapkan.

“Majlis yang diadakan perlu dihadkan 150 orang pada satu-satu masa tertakluk pada keluasan kawasan dan perlu dimaklumkan kepada pihak polis sekurang-kurangnya lima hari sebelum majlis diadakan,” katanya menerusi Facebook.

Katanya, sehubungan dengan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta memberi kerjasama kepada pihak polis bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 yang kini semakin membimbangkan.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya terus patuh dengan SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

“Sebarang arahan atau keperluan tertakluk kepada ketetapan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, sehingga kini terdapat lapan kluster di Kelantan dengan lima kluster tempatan iaitu Mengketil, Huma, Kube, Hilir dan Cengal.

Menurutnya, bakinya adalah tiga kluster import yang dikenali sebagai adalah Kaya, Cergas dan Ikhtisas.