Input your search keywords and press Enter.

Bukan Mudah Jadi Ibu- Kate Middleton

M Update, 28/1/2019 – Dari pandangan orang luar, Kate Middleton nampak seperti seorang ibu yang mahir membesarkan tiga orang anaknya, iaitu George, 5, Charlotte, 3 dan Louis, 9 bulan.

Walaupun mempunyai pengasuh dan pembantu rumah untuk menolongnya, isteri kepada Putera William itu mengaku yang ada masanya terasa seperti masih tidak cekap.

“Memang susah. Kita menerima banyak sokongan dan bantuan sebagai seorang ibu, lebih-lebih lagi ketika baru melahirkan anak.

“Tapi selepas umurnya mencecah setahun, bantuan tadi akan berkurangan,” kata Duchess of Cambridge itu ketika mengunjungi sebuah organisasi sukarelawan yang menawarkan bantuan kepada ibu bapa.

Beliau akui, bantuan yang diberikan tidak berpanjangan meskipun tugas seorang ibu bagaikan tiada penghujungnya.

“Selepas itu, takkan ada banyak pertolongan yang dihulurkan kepada kita. Sebaliknya, ada banyak buku untuk kita baca. Semua orang akan melalui pengalaman yang sama,” katanya.

Ini bukan kali pertama Kate mendedahkan cabaran yang dilaluinya dalam membesarkan anak.

Pada 2017, ketika berucap di Kolej Diraja Obstetrik dan Ginekologi, London, beliau mengakui bahawa ada masanya beliau berasa kurang yakin ketika melunaskan tanggungjawabnya.

“Secara peribadinya, menjadi seorang ibu memanglah satu pengalaman yang penuh nikmat dan mendatangkan ganjaran.

“Tetapi kadangkala ia juga memberi satu cabaran hebat kepada ramai ibu, termasuklah saya walaupun saya dibantu oleh pekerja di istana.

“Situasi sebegini akan menyebabkan kita hilang keyakinan atau menimbulkan rasa kebingungan dalam diri kita,” katanya.

Kate berkata, lazimnya wanita yang baru bergelar ibu akan menderita dalam diam.

“Mereka dibelenggu dengan perasaan negatif, tetapi pada masa yang sama mereka rasa takut untuk berterus-terang mengenai kesukaran yang dilalui.

“Perasaan ini timbul kerana mereka malu dengan apa yang orang lain akan kata jika mereka tidak berjaya mengatasi masalah berkenaan,” katanya

Sehubungan itu, Kate menggesa wanita untuk mendapatkan bantuan profesional pada waktu-waktu sukar.

“Tiada masalah jika kita ingin mengatakan bahawa menjadi ibu adalah sesuatu yang bagus, tapi kita juga perlu meluahkan semua tekanan dan kepayahan yang dilalui.

“Tidak mengapa jika anda melalui pengalaman ini. Meminta bantuan bukanlah satu tanda yang menunjukkan kelemahan,” kata puteri jelita itu.

Sumber: Hijab Heels, News.com.au, Getty Images

Leave a Reply