Doktrin bermaksud prinsip atau kepercayaan yang dianggap benar dan satu-satunya yang dapat diterima sebagai kepercayaan seterusnya pengamalan. Doktrin ajaran sesat bermaksud beberapa prinsip atau kepercayaan yang menjadi asas kepercayaan seterusnya pengamalan kepada kumpulan-kumpulan ajaran sesat. Antara doktrin ajaran sesat secara umumnya adalah:
- Mengingkari Rukun Iman dan Rukun Islam.
- Meyakini atau mengikuti akidah yang bercanggah dengan syarak.
- Meyakini turunnya wahyu setelah Al-Qur’an.
- Mengingkari kandungan atau kebenaran Al-Qur’an.
- Melakukan pentafsiran Al-Qur’an tanpa kaedah yang betul.
- Mengingkari kedudukan hadis Nabi SAW sebagai sumber ajaran Islam.
- Merendahkan para nabi dan rasul.
- Mengingkari Nabi Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul terakhir.
- Mengubah asas-asas ibadah yang telah ditetapkan syarak.
- Mengkafirkan sesama Muslim tanpa dalil syarii.
Selain itu, antara bentuk-bentuk doktrin umum ajaran sesat adalah seperti dakwaan wujudnya agama atau ajaran baharu, kitab suci baharu selain Al-Qur’an, nabi atau rasul baharu selepas Nabi Muhammad SAW, syariat baharu yang menyalahi syariat yang sedia dimaklumi dan tafsiran-tafsiran agama yang menyeleweng daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Kesemua doktrin atau dakwaan ajaran sesat tersebut adalah pencemaran terhadap ajaran Islam yang suci (Abdul Hamid 2006; JAKIM 2010; Mohamad Nidzam 2012).
Sumber – Majlis Agama Islam Selangor