M Update, 1/2/2019 – Kebelakangan ini terlampau banyak kejadian jenayah berlaku di kawasan masjid terutama kes kecurian tabung masjid. Boleh dikatakan setiap hari pihak polis terima aduan.
Bagi mengekang kejadian jenayah dan memastikan kawasan masjid selamat, Program 1Masjid 1Polis (1M1P) akan diperluas ke seluruh negara mulai Mac ini.
Setakat ini, masjid yang didaftar di bawah Majlis Agama Islam Terengganu dan Pahang sudah melaksanakan program itu sejak 2012.
Pegawai perhubungan akan dilantik di setiap masjid dan mereka akan melakukan lawatan dua kali sebulan untuk mendapatkan maklum balas keselamatan masjid dan maklumat jenayah, lawatan secara berkala serta mengaturkan reaching out yang dihadiri pegawai kanan polis. Peti lawatan polis akan disediakan bagi memastikan kehadiran polis sentiasa disedari.
Polis juga akan mewujudkan satu ruangan pada papan notis masjid untuk memuatkan maklumat dan berita tentang kepolisan.
Setakat ini 1M1P dilihat berjaya mengekang jenayah seperti kes curi wang tabung dan curi motosikal di kawasan masjid.
Selain itu, polis juga akan melaksanakan beberapa penambahbaikan sekali gus mewujudkan persekitaran selamat, meningkatkan penyaluran maklumat jenayah oleh masyarakat selain meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap polis.
Seterusnya, pasukan polis yang terdiri daripada kereta peronda polis (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang membuat rondaan turut diarah singgah di masjid di kawasan rondaan untuk menunaikan solat berjemaah sebagai usaha mendekatkan pasukan keselamatan dengan masyarakat.
Program 1M1P itu adalah antara inisiatif Polis Diraja Malaysia mendekatkan diri dengan masyarakat melalui beberapa program bersama cegah jenayah dan keselamatan komuniti sekali gus mengurangkan kadar jenayah dan meningkatkan persepsi keselamatan.
Sumber : Berita Harian