M Update, 3/2/2019 – Sindiket pengedaran dadah jenis ketamin di Lembah Klang berjaya ditumpaskan selepas polis menahan tiga lelaki dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Sungai Buloh pada Jumaat lalu.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas 92.7 kilogram dadah ketamin dalam bungkusan teh Cina bernilai RM5.6 juta.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, serbuan pertama dilakukan di Jalan Jengka di Subang Jaya pada pukul 7.40 malam yang membawa kepada penangkapan seorang lelaki berusia 41 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Nissan Almera yang dinaiki suspek polis menemui tiga guni berisi dadah ketamin di tempat duduk belakang.
Jelasnya, susulan serbuan itu polis menahan dua lagi rakan suspek berusia 49 dan 54 tahun di dalam kereta jenis Perodua Axia dinaiki mereka di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh.
“Hasil siasatan mendapati dadah ketamin bernilai RM5.6 juta itu dibawa masuk melalui jalan darat dari negara jiran untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.
“Satu paket teh Cina berisi satu kilogram ketamin dan ia dijual dengan harga RM60,000 hingga RM65,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di sini hari ini.
Menurutnya lagi, kesemua rampasan dadah itu mampu menampung bekalan buat 300,000 penagih dadah.
“Dalam dua serbuan berkenaan polis turut merampas wang tunai berjumlah RM8,000 selain menyita tiga buah kereta dengan nilai keseluruhan RM184,000.
“Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga 8 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Sumber: K! ONLINE