M Update, 11/2/2019 – SEKUMPULAN orang awam menjerit supaya bomba pulang dan tidak memadamkan kebakaran apabila jentera bomba tiba bagi memadamkan kebakaran sebuah kereta Kuil Sri Maha Mariamman USJ 5 Subang, November tahun lalu.
Pemandu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Md Elliza Mohd Noor berkata, ia menyebabkan penyelia bertugas mengarahkan supaya mereka tidak keluar dari jentera terbabit.
“Sampai di lokasi, saya tak lakukan tugas sebagai ‘pump operator’ kerana ada pergerakan sekumpulan lebih 50 orang datang sambil jerit jangan padamkan kebakaran itu sambil menuju ke jentera kami. Tidak sampai lima hingga 10 saat, saya dapati ketukan pertama di cermin depan dan diikuti balingan objek seperti batu-bata dan helmet (topi keledar).
“Saya dapat lihat dua atau tiga orang awam berlari di sebelah kiri jentera saya ke arah belakang dan saya tak tahu untuk tujuan apa,” katanya pada inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu. Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).
Sumber : HM Online