M Update, 28/2/2019 – Modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan telah dilancarkan semalam ke arah membentuk masyarakat yang peka dan berwaspada di jalan raya sejak di awal usia.
Modul hasil kerjasama pintar antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengangkutan itu dilaksanakan secara formal di semua sekolah-sekolah rendah bermula tahun ini.
Jalinan kerjasama PKJR sudah bermula sejak 2007 yang mana ia diajar secara penyerapan dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) Bahasa Melayu di sekolah rendah sekurang-kurangnya dua jam sebulan.
Selaras komitmen ini, Kementerian Pendidikan mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) PADA 2007 yang menggariskan pelaksanaan pKJR di semua sekolah rendah seluruh negara.
Majlis pelancaran disempurnakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dengan menyerahkan secara rasmi Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan kepada Kementerian Pendidikan untuk meneruskan pelaksanaannya di sekolah rendah seluruh negara.
Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah peringkat kebangsaan ini ditambah baik daripada segi kandungan pembelajaran, ilustrasi grafik, teks yang disesuaikan dengan tahap murid sekolah serta pengenalan kepada pembelajaran interaktif melalui bahan bantu mengajar seperti video, audio dan animasi.
Objektif utama pelaksanaan PKJR adalah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dalam kalangan murid sekolah yang bakal menjadi pengguna jalan raya pada masa depan.
Kira-kira 15,000 guru bahasa Melayu sekolah rendah di seluruh negara berjaya dibimbing mengenai kaedah penyerapan Modul PKJR Semakan Sekolah Rendah pada tahun lalu.
Sumber : Berita Harian