M Update, 21/3/2019 – Mahkamah antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini mengarahkan bekas pemimpin Serbia, Radovan Karadzic dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai penduduk Islam Bosnia dalam perang Balkan kira-kira 24 tahun lalu.
Karadzic, 73, berdiri kaku dan kelihatan muram selepas hakim menolak rayuannya dan menambah hukuman penjara 40 tahun yang dijatuhkan terhadapnya dalam perbicaraan pada 2016.
Ketua hakim, Vagn Joensen berkata, panel hakim menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas menolak rayuan Karadzic terhadap keputusan sebelum ini di mana dia didapati bersalah melakukan kekejaman termasuk pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995.
Dalam perbicaraan sebelum ini, Karadzic dihukum penjara 40 tahun tetapi pendakwa raya PBB merayu keputusan berkenaan. Karadzic didapati bersalah atas 10 tuduhan termasuk mengarahkan kepungan terhadap Sarajevo selama hampir empat tahun menyebabkan lebih 10,000 penduduknya mati.
Dia juga didapati bersalah atas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica selepas mengarahkan tentera Serb membunuh lebih 8,000 lelaki dan budak lelaki Islam sebelum menanam mayat mangsa dalam kubur besar.
Sumber : HM Online