M Update, 21/3/2019 – Tidur seorang remaja perempuan terganggu selepas dikejutkan dengan kehadiran seekor ular sawa sepanjang dua meter di atas katil rumahnya di Tingkat 14, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Padang Hiliran di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4.20 pagi ketika mangsa, Nor Alia Aqilla Jamaluddin, 18, yang sedang tidur dikejutkan dengan kehadiran objek yang lembik di lehernya. Dia yang bekerja di sebuah kedai makan nekad bangun dan membuka lampu bilik sebelum ternampak seekor ular sawa berlingkar di atas katilnya.
“Saya rasa ada benda lembik di leher dan tidak sangka rupa-rupanya ia seekor ular sawa sebelum menjerit memanggil ibu saudara, Nor Elida Khaibir, 27, yang berada di bilik sebelah,” katanya.
Sementara itu, Nor Elida berkata, dia yang sedang tidur terjaga apabila anak saudaranya menjerit memanggil namanya sambil memaklumkan ada ular di dalam biliknya. Saya kemudian pergi ke biliknya dan nampak reptilia itu di atas katil lalu menghubungi bomba untuk bantuan sebelum kami duduk di luar rumah sementara menunggu kedatangan bomba. Saya tidak tahu bagaimana ia boleh masuk ke dalam rumah sedangkan kami duduk di tingkat tinggi. Memang terkejut namun saya bersyukur tiada kejadian buruk berlaku,” kata ibu kepada dua anak lelaki berusia tiga dan lima tahun.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrizal Shamsudin pula berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada jam 4.58 pagi sebelum empat anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu bergegas ke lokasi kejadian. Pemeriksaan mendapati ular sawa itu menyorok di bawah katil dan kita berjaya menangkapnya pada jam 5.20 pagi.
Kita tidak mengambil masa yang lama untuk menangkapnya sebelum membawanya ke balai untuk tindakan lanjut,” katanya. Sementara itu, Ketua BBP Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, dakwaan kononnya seorang kanak-kanak hampir dibelit ular sawa itu di Tingkat 14 PPR berkenaan, tidak benar dan sengaja disensasikan.
Katanya, ular sawa sepanjang dua meter itu sebenarnya ditangkap dengan mudah dan akan dilepaskan ke kawasan hutan yang jauh daripada kawasan penempatan penduduk. Rozizah berkata, keadaan cuaca yang panas mungkin menjadi faktor ular itu masuk ke dalam rumah kerana ingin mencari tempat yang sejuk.
“Ini kali pertama kami dapat kes seperti ini. Biasanya, reptilia ini menyelinap masuk ke dalam rumah kampung yang terletak berhampiran hutan atau paya. Kami juga hairan memikirkan macam mana ular sawa itu boleh menyelinap masuk ke rumah flat yang berada di tingkat 14,” katanya.
Sumber : BH Online