Input your search keywords and press Enter.

Lebih 240,000 pelawat dijangka kunjungi LIMA’19

M-Uppdate,25/3/2019, LANGKAWI: Lebih 240,000 pelawat termasuk 42,000 delegasi perdagangan dijangka melawat Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) bermula esok hingga 30 Mac ini. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, selaku tokoh yang mencetuskan idea penganjuran pameran itu pada 1991, dijadual merasmikan LIMA’19 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) pagi esok.

Pameran yang mula dianjurkan 28 tahun lalu itu, bertujuan memperkenalkan Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama Malaysia ke mata dunia.Ketua Seksyen Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Leftenan Kolonel Salawati Yahaya, berkata pameran kali ini dianggap paling besar berbanding edisi LIMA terdahulu kerana ia membabitkan penyertaan pesawat tentera dan komersial yang banyak.

“Sebanyak 104 aset kapal dan maritim serta 103 pesawat terbabit dalam pameran statik dan persembahan.“Daripada jumlah itu, 60 peratus adalah pesawat tentera dan agensi keselamatan, manakala 40 peratus milik komersial dan awam.“Peningkatan jumlah penyertaan pesawat komersial adalah hasil usaha Kementerian Pengangkutan yang berjaya menarik banyak penyertaan syarikat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di MIEC di sini, hari ini.

Salawati berkata, LIMA’19 turut mendapat perhatian lebih 500 wakil media tempatan dan antarabangsa yang bakal membuat liputan sepanjang pameran berlangsung.“Seramai 974 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis kontinjen (IPK) Kedah ditugaskan menjaga keselamatan serta lalu lintas.

“Kita juga melakukan persiapan untuk LIMA’19 sejak Januari lalu, bagi memastikan pameran antarabangsa ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.Difahamkan, turut dilakukan kerja ubahsuai MIEC bermula Februari lalu, manakala kontraktor dan wakil pempamer mula melakukan persiapan sejak minggu lalu.

–BHarian

Leave a Reply