M Update, 26/3/2019 – Empat lelaki masing-masing dihadapkan ke tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memberi suapan kepada pegawai imigresen supaya tidak mengambil tindakan undang-undang di bawah Akta Imigresen terhadap warga asing di premis rumah urut sekitar Lembah Klang, sejak Oktober tahun lalu.
Kam Wan Hung, 54, Tan Siant Yiang, 34, Pang Bak Long, 47, dan Wong Kok Chong, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua tuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan tiga Hakim, Rozina Ayub, Azman Ahmad dan Azura Alwi.
Siant Yiang didakwa atas dua tuduhan dan Bak Long pula berhadapan dengan tiga tuduhan manakala Wan Hung serta Kok Chong masing-masing didakwa atas satu tuduhan.
Tertuduh, Siant Yiang didakwa memberikan suapan wang tunai berjumlah masing-masing RM8,000 dan RM9,000 kepada individu bernama ‘Shafik’ bagi pihak Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Putrajaya, Mohammed Yuzaiman Ahmad, 47, supaya tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pekerja asing di 22 buah premis rumah urut di sekitar Lembah Klang.
Sementara itu, Wan Hung, Bak Long dan Kok Chong masing-masing didakwa memberi suapan bernilai RM9,000, RM6,000 dan RM2,000 kepada individu sama bagi tujuan sama.
Kesemua suapan itu diberikan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/1963 di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sekitar ibu kota, termasuk di Restoran Pappa Rich Taman Desa dan Restoran Starbucks, di sini antara 31 Oktober 2018 dan 7 Januari lalu.
Tuduhan terhadap semua tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda boleh sampai lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Amira Sariaty Zainal, Nor Diana Najwa Nor Azwa dan Ashraf Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Edwin Johnson Navis, Tan Cheng Yee dan Mohd Faizi Che Abu.
Mahkamah membenarkan semua tertuduh diikat jamin antara RM20,000 dan RM10,000 masing-masing dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri ke ibu pejabat SPRM cawangan Kuala Lumpur sekali sebulan selain menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 dan 24 April ini.
Sumber : Berita Harian