M Update, 22/4/2019 – Seorang lelaki diserang strok selepas dia melayari Internet selama dua hari tanpa henti di sebuah kafe Internet di Shenzen, China.
Lelaki itu yang tidak didedahkan identitinya disedari hampir lumpuh selepas pekerja di kafe Internet berkenaan melihatnya tidak bangun dari tempat duduknya selama hampir 50 jam. Berdasarkan rakaman kamera keselamatan di premis itu, lelaki berkenaan masuk ke kafe terbabit pada 31 Mac lalu.
Oddity Central melaporkan, dua hari kemudian seorang pekerja kafe memeriksa rakaman kamera keselamatan dan ternampak lelaki berkenaan duduk di satu sudut ruang kafe. Mereka kemudian memeriksa keadaan lelaki itu dan terkejut apabila mendapati mangsa lumpuh serta sukar bercakap.
Dia yang dikejarkan ke Hospital Rakyat Daerah Longhua kelihatan hampir tidak sedarkan diri dan tidak dapat menggerakkan tangan kanannya sebelum disahkan mengalami strok. Tidak dapat dipastikan waktu sebenar lelaki itu diserang strok namun doktor percaya ia mungkin berlaku dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam sebelum dia dihantar ke hospital.
Rakaman kamera keselamatan menunjukkan dia duduk dalam keadaan sama sambil meletakkan tangan di dahi selama 24 jam mungkin memberi petanda dia sudah lama diserang strok sebelum kejadian itu disedari oleh pekerja. Menurut doktor, dia mungkin boleh mengelakkan daripada mengalami kerosakan pada otak sekiranya dihantar ke hospital dalam tempoh tiga hingga enam jam ketika serangan berlaku.
Walaupun dilaporkan sedang pulih namun tidak dapat dipastikan sama ada dia akan terus mengalami kerosakan kekal pada otak. Doktor di Jabatan Neurologi hospital itu menjelaskan, duduk terlalu lama dan tidak cukup tidur boleh meningkatkan risiko strok termasuk di kalangan golongan muda. – HM Online