M Update, 26/4/2019 – Kehadiran anak sindrom down dalam keluarga bukan saja mengubah hidupnya dan keluarga, bahkan ia menjadikan dirinya kuat dan cekal, begitulah luahan seorang ibu.
Mengimbas semula sebelas tahun lalu, Sarina Sulong, 35 sangat teruja menanti kelahiran cahaya mata keduanya yang juga pasangan kembar dan bersyukur kandungannya tidak mempunyai masalah. Namun, dunianya seakan gelap seketika apabila bayi kembar perempuan dilahirkan dengan sindrom down dengan seorang daripadanya mempunyai sindrom cerebral palsy (CP) yang mempunyai masalah saraf di bahagian sebelah badan.
Mengakui pada mulanya sukar menerima kenyataan itu, Sarina dan suami, Laskar Kanan Hafizudin Hassan, 35, tetap reda dan menjaga anak kembarnya itu dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Sarina berkata, anak kembarnya, Nurqistina Balqis dan Nurqistina Batrisya, 11, turut mempunyai masalah jantung berlubang, namun lubang di jantung Nurqistina Batrisya sudah tertutup ketika berusia enam bulan. Katanya, penglihatan mata kanan Nurqistina Batrisya juga terganggu dan hanya boleh melihat cahaya sahaja, tidak boleh berjalan dan lemah pada tangan kiri.
Manakala Balqis pula boleh berjalan tetapi ada masalah jantung berlubang dan memerlukan rawatan susulan di Institut Jantung Negara (IJN). Batrisya pula mempunyai CP dan bergantung dengan penglihatan mata kiri, selain memerlukan bantuan untuk berdiri serta merangkak sahaja. Balqis tidak pakai lampin pakai buang lagi, boleh makan dan mandi sendiri cuma masih perlu dipantau, berbeza dengan adiknya, Batrisya yang masih pakai lampin, makan dan mandi perlu diuruskan seperti bayi,” katanya yang mempunyai dua lagi anak lelaki berusia tiga dan 12 tahun.
Sarina menceritakan pengalamannya itu ketika ditemui wartawan Harian metro pada Majlis Meraikan Kanak-Kanak Istimewa sempena sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang Ke-85 di Auditorium M.Sidek Shabudin, Pangkalan TLDM Lumut, semalam.
Bercerita lanjut, Sarina memberitahu kedua-duanya anaknya itu bersekolah di kelas pendidikan khas Sekolah Kebangsaan (SK) TLDM II, Pangkalan TLDM Lumut. Katanya, Batrisya tidak mampu bertutur, manakala Balqis boleh bertutur walaupun pelat dan hanya ada beberapa perkataan yang boleh disebut dengan lancar.
Mempunyai dua anak istimewa memang sangat mencabar dan menuntut kesabaran, kekuatan serta ketabahan yang berganda kerana mereka mempunyai ‘mood’ masing-masing. Namun itulah hikmah di sebaliknya. Saya menyayangi mereka dan akan sentiasa ada untuk mereka berdua,” katanya.
Sebagai isteri anggota tentera, Sarina mengakui ia juga memberi cabaran kepadanya untuk menguruskan anak, terutama ketika suami bertugas atau berkursus. Bagaimanapun, dengan bantuan rakan dan kebajikan TLDM, semua itu dipermudahkan,” katanya yang juga suri rumah. – HM Online