M Update, 2/5/2019 – Dua daripada tiga pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang dari pusat pengajian mereka di Kampung Seri Repah, Tampin sejak minggu lalu berjaya ditemui awal pagi ini.
Bapa kepada salah seorang pelajar berkenaan, Mahadhir Mat Lazim, 43, berkata, pelajar tahfiz terbabit ditemui olehnya di ibu negara kira-kira pukul 1 pagi tadi. Saya temui mereka di sebuah pusat komputer di Taman Koperasi Polis Fasa 2, Jinjang, Kuala Lumpur. Saya telah membuat laporan polis berhubung penemuan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini pagi ini.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan tiga pelajar Tahfiz Al-Quran Darussyifa masing-masing berusia 13 hingga 14 tahun dilaporkan hilang dari pusat pengajian mereka sejak 24 April lalu. Ketiga-tiga pelajar itu dipercayai melarikan diri dari pusat tahfiz tersebut kerana takut didenda selepas perbuatan mereka menggunakan telefon bimbit diketahui warden asrama. – K! ONLINE