M Update, 03/05/2019 – Pihak berkuasa Sri Lanka mendedahkan militan Islam dipercayai sedang merancang untuk menyerang beberapa jambatan di Colombo, ketika beberapa perancang insiden pengeboman ketika hari Easter masih bebas.
Polis mengesahkan bahawa mereka sudah mengarahkan beberapa balai polis di sekitar Colombo untuk menempatkan lebih ramai anggota.
Selain itu, polis turut memohon bantuan tentera laut menempatkan lebih banyak kapal peronda di beberapa sungai, selepas sumber perisikan polis melaporkan jambatan di ibu negara itu, berisiko untuk diserang.
Pada masa sama, tentera Sri Lanka juga dilapor sudah menubuhkan pusat kawalan khas bagi menyelaras operasi anti militan dan menempatkan lebih banyak anggota bagi operasi mencari.
Menurut sumber rasmi, anggota tambahan yang mengadakan operasi mengesan dan merampas bahan letupan serta senjata di beberapa lokasi, disyaki milik kumpulan penjenayah dan bukannya militan.
“Operasi mengesan dan kawalan dijalankan oleh pihak tentera dengan bantuan polis, bagi mencari anggota militan, kawasan persembunyian, bahan letupan, senjata dan barangan lain.
“Berikutan itu, lebih banyak anggota akan ditempatkan jika keadaan memerlukan,” kata tentera dalam satu kenyataan.
Menteri Kesihatan merangkap jurucakap kerajaan, Rajitha Senaratne, berkata pihak berkuasa menerima maklumat mengenai satu kumpulan radikal, yang merancang melakukan lebih banyak serangan.
Namun, beliau berkata, usaha untuk memerangi kumpulan militan selepas insiden serangan bom di Easter dianggap mencapai matlamatnya.
“Kamu tidak boleh mengandaikan bahawa ia sudah berakhir, tetapi situasi ketika ini adalah terkawal, lebih baik daripada jangkaan kami,” katanya. – AFP