M Update, 6/5/2019 – Di kala kita gembira menyambut kedatangan bulan Ramadan penuh barakah jangan sesekali kita lupa ada sesetengah yang menyambutnya dalam kesusahan.
Kesempitan hidup lima beranak yang tinggal di bangsal usang di Kampung Bukit Gajah, Jalan Industri, dekat Gua Musang, menerima limpahan rezeki pada Ramadan, hari ini.
Pelbagai pihak mengunjungi bangsal didiami lima beranak itu untuk menyampaikan sumbangan seperti barangan keperluan supaya mereka tidak dibebani masalah kemiskinan ketika menyempurnakan ibadah puasa.
Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Wangi 2, Nor Azila Sidik Ahmad berkata, pihak sekolah terkejut apabila melihat sendiri bangsal usang didiami mereka tanpa dilengkapi kemudahan elektrik dan air.
Apa yang menyedihkan, keadaan bangsal dibina di atas tanah kerajaan itu cukup uzur dengan atap bocor serta berdindingkan zink dan kain, selain berlantaikan kayu reput serta tiada bekalan air dan elektrik.
Pengerusi Jiran Wanita Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batu Papan, Zanariah Ab Rahim berkata, kes seumpama itu dianggap terpencil berlaku di daerah ini dan sebagai masyarakat setempat, mereka perlu mengambil cakna berhubung perkara itu.
Alhamdulillah ramai yang prihatin untuk menghulur bantuan kepada keluarga terbabit dan berharap mereka tabah menghadapi ujian itu.
Sumber : Harian Metro