M Update, 8/5/2019 – Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal dinaikinya bertembung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Sungai Putat, di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Muhammad Hasani Mohd Razip, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di bahagian kepala dan beberapa bahagian tubuhnya. Mangsa yang menaiki motosikal Honda EX5 milik bapanya sedang dalam perjalanan ke ke pejabat operasi Food Panda di Bukit Beruang dari Batu Berendam sebelum sebelum terbabit nahas.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa dari arah Batu Berendam berada dalam laluan bertentangan sebelum bertembung Toyota Vellfire dipandu seorang wanita berusia 44 tahun.
Motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan MPV berkenaan. Impak pelanggaran menyebabkan mangsa mengalami kecederaan teruk dan meninggal dunia di lokasi kejadian. Manakala pemandu Toyota Vellfire berkenaan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat. Afzanizar berkata, setakat ini belum ada saksi tampil menyalurkan maklumat dan pihaknya sedang mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik stesen minyak berhampiran lokasi kejadian untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BH Online