M Update, 10/5/2019 – Tun Dr Mahathir Mohamad mahu semua pihak terutama pembangkang berhenti menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik.
Perdana Menteri berkata, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kerajaan diperlihatkan sebagai tidak peduli mengenai Islam dan Melayu, selain akur kepada kehendak golongan bukan Islam dan bukan Melayu sehingga menggadai kepentingan bangsa Melayu dan orang Islam. Katanya, ini dilakukan oleh satu gerakan yang pastinya didalangi mereka yang tewas dalam pilihan raya dan agak ketakutan menghadapi proses undang-undang yang mula membelenggu mereka.
“Tidak cukup dengan itu, kita juga dituduh mahu melupuskan sistem beraja. Atas sebab ini, mereka bergabung dan dasar yang mereka pegang untuk kononnya mempertahankan Raja-Raja Melayu, kedudukan orang Melayu dan kedaulatan Islam.
“Pesanan saya, cukup-cukuplah menggunakan isu perkauman dan agama untuk kepentingan politik,” katanya ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu semalam. – BH Online