M Update, 16/05/2109 – Ribuan pelajar dan guru mengadakan tunjuk perasaan di sepanjang jalan seluruh Brazil sebagai membantah pemotongan bajet seperti diumumkan kerajaan Presiden Jair Bolsonaro.
Kelas di semua universiti persekutuan dan sekolah menengah digantung sementara susulan tunjuk perasaan pertama membantah presiden berhaluan paling kanan itu sejak beliau mengambil alih kepimpinan pada 1 Januari lalu.
Peserta memenuhi jalan di semua bandar besar Brazil termasuk Sao Paulo, Rio de Janeiro dan Belo Horizonte.
Pemotongan bajet itu membabitkan pengurangan subsidi sebanyak 30 peratus ke atas universiti milik kerajaan.
Bolsonaro mengecam semua penunjuk perasaan dan menyifatkan mereka sebagai ‘orang bodoh yang membiarkan diri dimanipulasi golongan minoriti’ dan mendakwa ia dicetuskan kumpulan militan berhaluan kiri.
Bercakap dari Texas ketika menerima anugerah dari Dewan Perdagangan Amerika Syarikat – Brazil, Bolsonaro mempertahankan dasar pendidikan berkenaan dan berkata, beliau mewarisi Brazil ketika ekonomi negara itu berada dalam kemusnahan.
Menurut beliau, pemotongan bajet yang perlu dilaksanakan itu lebih rendah dari jangkaan asal.
Sejumlah 15,000 penunjuk perasaan berarak menuju ke ibu negara, Brasilia manakala 20,000 lagi mengambil bahagian dalam bantahan di Belem, utara negara itu.
Menurut penganjur, 70,000 rakyat lagi berarak menuju kubu kuat puak berhaluan kiri di Salvador, timur laut Brazil. – AFP