Input your search keywords and press Enter.

KKM Sahkan 12 Produk Kosmetik Mengandungi Racun Berjadual

M Update, 24/5/2019 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyenaraikan 12 produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk-produk itu antaranya 3rd Series Yanko Whitening Cream Night Cream, 5th Series Yanko Whitening Cream Night Cream dan 7th Series Yanko Whitening Cream Night Cream yang dikesan mengandungi tretinoin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi (NPRA) KKM

Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini diberi amaran untuk menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Noor Hisham, produk Clair De Lune – P.Tuberose Day Cream dan Clair De Lune – S.Involucrata Night Cream mengandungi beberapa racun berjadual termasuk chloramphenicol. Selain itu, ujarnya, produk Dnars Nien Cream, Glow Glowing N Glow dan Dolly Glow Miracle Treatment Cream pula mengandungi hydroquinone dan tretinoin manakala Glow Glowing T Treatment, VSL Beauty Care Toner A serta VSL Beauty Care Toner B mengandungi hydroquinone. Sementara itu, produk Dolly Glow Luminous Night Cream katanya, mengandungi merkuri.

Penjual diingatkan bahawa penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya. Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. Pengguna dan orang ramai dinasihatkan untuk menyemak status notifikasi sesuatu produk kosmetik dengan melayari laman sesawang rasmi NPRA iaitu www.npra.gov.my. – K! ONLINE

Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Leave a Reply