M Update, 28/5/2019 – Proton Holdings Bhd (PROTON) hari ini melancarkan model ‘facelift’ kenderaan pelbagai guna (MPV), PROTON Exora 2019. Pelancaran MPV itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.
Harga jualan bermula dari RM59,800 untuk varian Executive 1.6T CVT dan RM66,800 untuk Premium 1.6T CVT, tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Kedua-duanya didatangkan dengan pakej servis selama lima tahun dengan tiga kali percuma kos upah dan pakej data percuma satu gigabait sebulan selama lima tahun. Harga yang ditawarkan untuk model 2019 kali ini adalah lebih murah berbanding model sebelumnya dengan pengurangan harga sehingga RM2,547.
Selain itu, PROTON juga menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.76 peratus dan pakej perlindungan insurans percuma. Antara kelainan dan pembaharuan yang ditampilkan pada model ini ialah sistem infotainmen yang sama dengan model X70, Persona 2019 dan Iriz 2019. Sistem ini menawarkan aplikasi penstriman muzik, navigasi dalam talian dan pengecaman suara yang boleh diakses melalui skrin sentuh tujuh inci dengan paparan warna penuh serta memori dalaman sebanyak 16GB.
Untuk kemudahan tambahan, sistem ini juga mempunyai kemampuan pencerminan bagi telefon pintar Android. Aplikasi pengecaman suara diaktifkan melalui kata kunci Hi Proton! di mana kemudiannya, pengguna boleh mengakses pelbagai pilihan yang ada menggunakan arahan suara ini. Ini membolehkan pemandu kekal fokus memandang ke arah jalan raya sambil membuat carian kompleks untuk ke mana-mana destinasi atau memilih lagu, membantu memastikan mereka tidak terganggu semasa memandu. Sistem ini juga akan menerima kemas kini Over The Air (OTA) secara berkala apabila terdapat aplikasi-aplikasi baharu. -BH Online