M Update, 29/05/2019 – Seorang wanita yang dipenjara di Iran selama setahun kerana bertindak membuka tudung di khalayak ramai bagi membantah panduan berpakaian cara Islam yang dikeluarkan kerajaan, dibebaskan lebih awal hari ini, kata peguamnya.
“Vida Movahedi dipanggil pihak berkuasa penjara Ahad lalu dan diberitahu bahawa hukumannya diringankan, menyebabkan dia dibebaskan lebih awal,” kata peguam, Payam Derafshan.
Movahedi yang berusia pertengahan 20-an ditahan Oktober lalu selepas menanggalkan tudung ketika berada di Dataran Enghelab, Teheran.
Dia didakwa dengan kesalahan ‘menggalakkan rasuah dan tidak bermoral’ sebelum dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah Tehran bermula 2 Mac lalu.
Menurut Derafshan, Movahedi membantah peraturan mewajibkan bertudung dan mahu menyuarakan bantahan dalam tunjuk perasaan.
Mengikut garis panduan berpakaian Islam, kaum wanita hanya dibenar menunjukkan muka, tangan dan kaki apabila berada di khalayak ramai dan mengenakan warna yang tidak menarik perhatian.
Mohavedi sebelum ini pernah mengadakan beberapa tunjuk perasaan sebelum ditangkap.
Pada Disember 2017, wanita itu berdiri di tiang utama Persiaran Enghelab tanpa kot labuh yang diwajibkan dan mengangkat tudung putihnya menggunakan kayu.
Enghelab bermaksud revolusi dalam bahasa Parsi dan kawasan itu adalah antara yang paling sibuk di ibu negara Iran. – AFP