M Update, 13/06/2019 – Pelari jarak jauh Amerika Syarikat (AS), Gabriele Grunewald yang menjadi sumber inspirasi untuk ribuan peminat selepas meneruskan perjuangan walaupun sekian lama bertarung penyakit kanser meninggal dunia pada usia 32 tahun.
Kematian Grunewald disahkan suaminya, Justin menerusi hantaran di Instagram pada Selasa lalu, dua hari selepas mendedahkan bahawa keadaan isterinya semakin teruk dan memasuki fasa terakhir rawatan.
“Pada jam 7.52 pagi saya mengucapkan ‘saya tidak sabar untuk bertemu lagi dengan kamu wahai wira, rakan baik, sumber inspirasi dan isteri’,” kata Justin di dalam hantaran itu yang turut tertera foto mereka berdua sedang berlari.
“Saya tahu saya tidak akan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan kamu dalam hati ini. Keluarga kamu menyayangi kamu dengan sepenuhnya, sama seperti rakan-rakan lain,” katanya lagi.
Gabriele Grunewald kali pertama disahkan menghidap kanser kelenjar air liur yang jarang berlaku pada 2009, setahun sebelum disahkan mengalami kanser tiroid.
Beliau bagaimanapun tetap berlari walaupun ketika menjalani pembedahan dan rawatan serta hampir memenangi pingat pada Sukan Olimpik 2012 apabila meraih tempat keempat dalam saringan acara 1,500 meter.
Beliau memenangi pingat emas untuk acara 3,000 meter pada Kejohanan Tertutup AS 2014.
Pada 2016, mendiang menduduki tempat ke-16 dalam acara akhir 1,500 meter pada saringan Olimpik AS di Eugene, Oregon, hanya beberapa minggu sebelum menjalani pembedahan Ogos tahun itu bagi membuang ketumbuhan besar di bahagian hati. – AFP