M Update, 20/06/2019 – Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan Papua di timur Indonesia hari ini, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) melaporkan, gegaran dikesan 250 kilometer di barat bandar Abepura, wilayah Papua kira-kira jam 12.46 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 12 kilometer.
Gegaran di Abepura dikatakan agak lemah dan kebanyakan penduduk tidak menyedarinya.
“Ketika kejadian, saya masih belum tidur dan tidak merasa sebarang gegaran. Malah jiran di sekeliling juga tidak lari ke luar rumah,” kata seorang penduduk Abepura, Arul Firmansyah kepada AFP.
Tiada kecederaan mahupun kerosakan harta benda dilaporkan susulan gempa bumi itu.
Indonesia sering dilanda aktiviti seismik dan gunung berapi akibat kedudukannya di Lingkaran Api Pasifik.
Tahun lalu, gempa berukuran 7.5 magnitud diikuti gelombang tsunami di Palu pulau Sulawesi mengorbankan lebih 2,200 penduduk dengan ribuan lagi masih hilang.
Pada 26 Disember 2004, gempa berukuran 9.1 magnitud menggegarkan wilayah Aceh diikuti tsunami yang mengorbankan lebih daripada 170,000 orang. – AFP