M Update, 21/06/2019 – Seorang remaja didakwa kerana merancang pembunuhan rakan baik selepas seorang lelaki yang dikenalinya dalam talian menawarkan AS$9 juta (RM37.4 juta) untuk melakukan jenayah itu.
Menurut pegawai penyiasat, Denali Brehmer, remaja berusia 18 tahun dari Alaska itu direkrut untuk membunuh rakannya oleh Darin Schilmiller, 21, dari Indiana. Schilmiller yang mengenali Brehmer dalam talian menggunakan identiti palsu sebagai seorang jutawan bernama ‘Tyler’.
Menurut kertas pertuduhan, sejak berkenalan dan menjalin hubungan dalam talian, mereka merancang untuk merogol dan membunuh seseorang di Alaska.
Schilmiller menjanjikan habuan bernilai AS$9 juta (RM37.4 juta) kepada Brehmer atau lebih untuk setiap rakaman video atau gambar serangan yang diserahkan kepadanya.
Brehmer kemudian merekrut empat lagi remaja dan menjadikan rakan baiknya, Cynthia Hoffman sebagai mangsa.
Menurut pihak berkuasa, pada 2 Jun lalu, Hoffman, 19, diajak untuk melakukan aktiviti mendaki di timur laut Anchorage. Sebaik tiba di lokasi berkenaan, remaja itu diikat dengan pita pelekat dan ditembak di belakang kepala, sebelum dihumban ke dalam sungai. Mayat Hoffman hanya ditemui pada 4 Jun lalu.
Media tempatan melaporkan, bapa Hoffman menyifatkan anak perempuannya itu sebagai seorang yang mempunyai masalah pembelajaran dengan tahap pemikiran seperti remaja berusia 12 tahun.
Pada Jumaat lalu, juri sepakat memutuskan keenam-enam defendan didakwa melakukan pembunuhan dengan niat, merancang melakukan pembunuhan dengan niat, dua pertuduhan melakukan pembunuhan tanpa niat dan beberapa pertuduhan lain.
Selasa lalu, Schilmiller dan Brehmer turut didakwa kerana melakukan pornografi dan eksploitasi kanak-kanak.
Mereka turut berdepan hukuman penjara 99 tahun untuk setiap tuduhan membunuh. – AFP