M Update, 27/06/2019 – Kaedah terbaik bagi ASEAN menangani isu Laut China Selatan dan menyempurnakan Kod Tata Laku (COC) adalah dengan bersatu suara, kata bekas Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa.
Beliau yang berkhidmat dari 2009 hingga 2014, berkata adalah penting badan serantau 10 negara itu senada, meskipun setiap negara anggota mungkin mempunyai kepentingan berbeza.
“Sangat penting bagi negara Asia Tenggara apabila berdepan masalah seperti isu Laut China Selatan, kita tidak boleh berpecah, sebaliknya bersatu padu walaupun pihak yang menuntut hanya sebahagian daripada kita.
“Pada masa sama, perkara itu memberikan kesan kepada kita semua. Kita perlu mengukuhkan pendirian kita dalam perbincangan dengan China mengenai COC,” katanya kepada Bernama dan RTM, selepas pelancaran buku tulisannya ‘Does ASEAN Matter? A View from Within’ di sini, hari ini.
Buku itu dilancarkan di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 yang berakhir hari ini.
Antara negara anggota ASEAN, hanya Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang menuntut kawasan Laut China Selatan.
Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 baru-baru ini di Bangkok menggesa negara anggota bersama-sama dalam merangka COC supaya pertikaian mengenai isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik.
Pendirian Malaysia mengenai pertikaian itu ialah ia tidak sepatutnya dibincangkan secara berasingan dalam kalangan negara anggota yang membuat tuntutan.
Bekas wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari 2007-2009 itu turut mengingatkan ASEAN perlu teguh bersatu, yang menuntut banyak pengorbanan.
Beliau berkata untuk ASEAN terus kekal relevan, satu perkara paling utama ialah mengekalkan perpaduan.
“Kita semua (perlu) sentiasa bercakap mengenai perpaduan. Ia perlu bukan sekadar mantra semata-mata. Ia perlu dibuktikan, perlu ditunjukkan. Apabila berlaku pergeseran, perlu ada usaha serius untuk mengembalikan perpaduan,” katanya.
“Malah, ASEAN hanya akan kuat apabila kita bersatu tetapi bila berpecah, kita cenderung untuk mencegah, malah cenderung untuk mengendurkannya,” katanya.
Mengenai buku hasil nurkilannya setebal 258 muka surat itu, Natalegawa berkata beliau berkongsi pemikirannya sendiri mengenai apa yang masih perlu dilakukan ASEAN selain meraikan pencapaian masa lalu blok itu.
Buku itu diterbitkan pada akhir 2018 di Singapura oleh ISEAS. Sebelum ini, ia dilancarkan di beberapa negara ASEAN seperti Singapura dan Thailand. – BERNAMA