Input your search keywords and press Enter.

Bunuh Abang Kerana Telefon Bimbit

M Update, 8/7/2019 – Gara-gara telefon bimbit, seorang remaja perempuan bersama teman lelakinya sanggup membunuh abang sendiri, membungkusnya sebelum meletakkan mayat mangsa di belakang sebuah rumah kosong dalam kejadian di Taman Glenview, Kamunting.

Mayat mangsa, 16, ditemui dua hari selepas dilaporkan hilang oleh keluarga mangsa. Mangsa dipercayai dibunuh adik perempuannya berusia 14 dan teman lelaki berusia 15 tahun di rumahnya.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lebih kurang jam 12.18 tengah hari, pihaknya menerima panggilan daripada jiran mangsa mengatakan ada penemuan mayat mangsa di luar belakang sebuah rumah di lokasi kejadian. Menurutnya, mayat ditemui dalam bungkusan plastik itu kemudiannya disahkan ahli keluarga sebagai mangsa dilaporkan hilang pada 5 Julai lalu.

Siasatan awal polis mendapati mangsa dipercayai dibunuh adik perempuan dan teman lelakinya di rumah mangsa susulan kedua-dua suspek mengaku membunuh mangsa. Motif pembunuhan mungkin berpunca daripada pergaduhan mangsa dengan teman lelaki suspek sewaktu hendak mengambil telefon yang tertinggal di rumah itu pada 5 Julai lalu.

Osman berkata, siasatan polis turut mendapati pada hari dilaporkan mangsa hilang, mangsa dipercayai baru pulang dari sekolah sebelum mendapati adik perempuannya membawa rakan-rakan termasuk teman lelaki ke rumah. Menurutnya, semua rakan-rakan adik suspek termasuk teman lelakinya difahamkan beredar sebaik mengetahui mangsa pulang dari sekolah. Namun, teman lelaki suspek dipercayai tertinggal telefon bimbit dan apabila dia cuba menghubunginya semula, panggilan diangkat mangsa.

Mangsa mencabar teman lelaki suspek supaya datang ke rumah untuk mendapatkan kembali telefonnya dan susulan itu satu pergaduhan berlaku sewaktu teman lelaki suspek kembali ke rumah mangsa. Mengikut keterangan kedua-dua suspek, mereka dipercayai mengelar leher mangsa dan kedua pergelangan tangan mangsa dengan pisau sebelum menyerkup kepala mangsa dengan plastik untuk membunuhnya,” katanya.

Osman berkata, siasatan unit forensik polis menemui pisau yang digunakan suspek dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat. Menurutnya, kedua-dua suspek kemudiannya ditahan polis di rumah mereka pada jam 4.25 petang untuk siasatan lanjut. Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.


Leave a Reply