M Update, 6/8/2019 – Makin menjadi-jadi akhir-akhir ini kes pemandu kereta memandu melawan arus. Mungkin tindakan lebih keras perlu diambil bagi mengelakkan perkara ini daripada terus berlaku. Perkara seperti ini boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
Terbaru, polis sedang menjejak pemilik atau pemandu sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam yang memandu melawan arus di jalan menuju ke JB Sentral di sini, yang videonya tular dalam laman sosial Facebook. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata polis telah menerima rakaman video kejadian pada Jumaat lepas (2 Ogos) daripada orang ramai.
Sehingga kini tiada laporan polis diterima berhubung kejadian berkenaan. Sehubungan itu, pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti pemilik atau pemandu kereta tersebut,” katanya menerusi kenyataan, di sini hari ini. Video berdurasi 18 saat itu dikongsikan pemilik sebuah akaun Facebook, Info Roadblock JPJ/Polis, semalam.
Rakaman video diperoleh daripada kamera video yang dipasang di dalam sebuah lagi kereta yang sedang melalui jalan terbabit. Video juga jelas menunjukkan dua kereta terbabit hampir berlanggar akibat tindakan pemandu berkenaan.