M Update, 20/08/2019 – Seorang datuk tergamak merogol cucu tirinya beberapa kali termasuk ketika mangsa sedang tidur di sebelah isterinya yang sakit sehingga menyebabkan remaja perempuan berusia 13 tahun itu kini hamil.
Jakarta Post melaporkan, lelaki berusia 66 tahun yang berasal dari kampung Gembongan di Blitar, Jawa Timur itu ditangkap minggu lalu, selepas jiran membuat laporan polis mengenai perbuatan terkutuknya itu.
Ketua jabatan siasatan jenayah polis Blitar, Heri Sugiono berkata, lelaki dikenali sebagai Sobari itu mengaku merogol cucunya tujuh kali dalam tempoh dua bulan.
Katanya, suspek juga tergamak merogol mangsa di atas katil di sebelah isterinya yang terlantar sakit angin ahmar.
“Perbuatan terkutuk pekerja ladang itu terbongkar apabila beberapa jiran curiga melihat perubahan fizikal remaja itu.
“Beberapa jiran menyoal siasat mangsa dan ternyata tekaan mereka betul.
“Mereka membawa remaja itu bertemu bidan yang mengesahkan mangsa hamil empat bulan,” katanya kepada Jakarta Post.
Jiran itu membuat aduan kepada ketua kampung yang kemudiannya melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.
“Selepas menyiasat kes ini kami akan memohon suspek dikenakan hukuman paling berat termasuk dipertimbangkan hukuman kembiri mengikut undang-undang,” tegasnya.