M Update, 17/9/2019 – “Walaupun berada di pangkalan udara berasingan namun pesawat tempur F/A-18D Hornet dan MiG-29N menyatukan cinta kami,” kata Jurusensor Senjata Pesawat, Mejar S Thayala Kumar Ravi Varman, 40.
Thayala mendirikan rumah tangga bersama juruterbang wanita pertama di Asia mengemudi pesawat pejuang MiG-29N, Mejar Patricia Yapp Syau Yin. Menceritakan hubungan mereka walaupun berlainan bangsa, Thayala berkata, dia mengenali isterinya ketika menyertai latihan di Kolej Tentera Udara (KTU) di Alor Star, Kedah pada 1997.
Ketika temu duga, kami sebagai rakan biasa namun kami bertemu lagi di KTU dan menjalani latihan selama tiga tahun. Selepas tamat latihan saya dan isteri dipilih untuk menjalani latihan penerbangan. Saya dihantar ke Pangkalan Udara Subang, manakala isteri pula di Pangkalan Udara Butterworth. Selepas tiga tahun, isteri berpindah ke Pangkalan Udara Kuantan dan kami memang jarang berjumpa,” katanya.
Menurutnya, dia yang berkhidmat di No 15 Skuadron ketika itu banyak menyertai eksesais dan latihan bersama pelbagai pihak. Ketika itu hubungan kami makin akrab kerana kami bertemu ketika eksesais dijalankan. Pesawat F/A-18D Hornet dan MiG-29N biasanya bergabung untuk latihan dan eksesais yang dianjurkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Disebabkan penugasan dilaksanakan, ada senior di dalam kumpulan menyarankan supaya saya lebih mendekati isteri kerana ada keserasian,” katanya. Thayala berkata, dia kemudian memberanikan diri dan menyampaikan hasrat memperisterikan Patricia. Ketika itu dia tidak bagi kata putus sebab mahu tengok keluarga boleh terima atau tidak kerana antara alasannya ialah saya dari Semenanjung dan dia pula dari Sabah selain agama dan bangsa kami berlainan.
Namun dengan restu kedua-dua keluarga, kami berkahwin pada 24 Jun 2010 dengan mengadakan majlis mengikut tiga adat iaitu Hindu, Cina dan Melayu. Semua majlis diadakan bagi melambangkan semua aspek di Malaysia, saya ada ramai kawan Melayu, isteri pula berbangsa Cina dan saya pula berbangsa India,” katanya.
Katanya, dia dan isteri tidak rasa kekok walaupun berdepan dengan perbezaan agama, budaya serta adat. Kami dalam tentera tiada perbezaan kaum dan adat, yang ada hanya tradisi sebagai tentera yang diajar menghormati satu sama lain dan sebab itu kami disatukan tanpa mengira bangsa dan agama. Perkahwinan kami dikurniakan sepasang cahaya mata berusia lapan dan tujuh tahun,” katanya.
Katanya, dua perkara penting dalam melahirkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat iaitu perlu telus dan ikhlas dalam persahabatan. Selain sifat saling hormat-menghormati tidak kira usia atau perbezaan agama dan bangsa. Dua perkara ini diterapkan dalam latihan ketenteraan sejak dari mula,” katanya. – HM Online