M Update, 18/9/2019 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yakin mampu membawa sehingga 70,000 penumpang sehari bagi laluan monorel dengan dua set tren monorel empat-gerabak yang beroperasi bermula semalam.
Dalam satu kenyataan, Prasarana memaklumkan bahawa melalui penambahan dua tren, ia telah meningkatkan jumlah tren yang digunakan untuk laluan monorel kepada lima set tren empat gerabak dan empat set tren dua gerabak.
Peningkatan ini sekali gus mampu memastikan perjalanan yang lebih selesa untuk pengguna dengan masa menunggu waktu puncak dikurangkan daripada 10 minit kepada 5.5 minit,” menurut kenyataan itu.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam kenyataan sama berkata ia merupakan satu hadiah Hari Malaysia yang cukup istimewa terutamanya di Kuala Lumpur.
“Kini, kelima-lima set tren empat-gerabak yang digantung perkhidmatan sejak Januari 2018 sudah kembali beroperasi selepas melalui kerja-kerja pemantapan keselamatan yang diperlukan dan berjaya lulus ujian ketahanan yang ditetapkan oleh APAD,” katanya.