M Update, 8/10/2019 – Kerajaan sedia membuka opsyen tambahan kepada rakyat Malaysia yang berasakan mereka layak menerima manfaat Program Subsidi Petrol (PSP) untuk mengemukakan permohonan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, secara dasarnya kerajaan komited melaksanakan skim subsidi petrol bersasar sebagaimana dijanjikan dan sudah mengenal pasti penerimanya. Menurutnya, statistik dapatan pihaknya turut mendapati rakyat Sabah dan Sarawak mencatatkan jumlah penggunaan petrol lebih rendah berbanding semenanjung Malaysia.
“Tetapi kalau ada yang rasa mereka layak untuk menerimanya (tetapi tidak dimasukkan dalam golongan sasaran), kita terbuka (menerima permohonan mereka), ” katanya ringkas sewaktu ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Saifuddin berkata, skim PSP juga dijangka tidak memberi kesan kepada kadar inflasi negara kerana kerajaan sudah boleh membuat jangkaan kenaikan harga minyak petrol dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun. Menurutnya, berdasarkan harga minyak semasa, syarikat minyak mentah meramalkan kedudukan harga minyak mentah di antara AS50 hingga AS60 setong. Semalam semasa saya membuat pengumuman pelancaran Skim PSP, harga minyak sekitar USD58.27 setong.
‘Kalau ramalan (harga minyak dibuat) dua atau tiga tahun sekitar angka itu, kita boleh buat jangkaan kenaikan harga akan kita beri merangkumi angka berapa, “katanya.
Semalam, Program Subsidi Petrol (PSP) yang dilancarkan kerajaan hari ini akan menyalurkan bantuan tunai dikreditkan terus kepada akaun penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) yang memiliki kenderaan bagi setiap empat bulan sekali bermula awal tahun depan.
Saifuddin Nasution berkata, kadar subsidi petrol adalah RM30 bagi kereta dan motosikal RM12 setiap sebulan. Menurut beliau, pihaknya menjangkakan sebanyak 2.9 juta penerima akan mendapat manfaat daripada program subsidi tersebut dan anggaran tanggungan bagi perlaksanaan tersebut adalah RM65.4 juta sebulan.
Jelasnya, program itu merupakan satu bentuk bantuan kewangan untuk membantu rakyat membiayai sebahagian kos penggunaan petrol. – SH Online