M Update, 8/10/2019 – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin mahu pihak bertanggungjawab lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes membabitkan haiwan terbiar di jalanan.
Ia susulan rakaman insiden beberapa anggota penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang dikatakan bertindak kasar ketika cuba menangkap seekor anjing liar di satu lokasi yang tidak diketahui, yang tersebar melalui media sosial. Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda kesal selepas diperlihatkan klip video itu.
“Sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor (SFS), saya kecewa dan sedih kerana kejadian kejam seumpamanya masih berlaku dalam masyarakat meskipun banyak kempen kesedaran dilaksanakan membabitkan haiwan-haiwan terbiar.
“Di sini saya ingin menggesa agar pihak-pihak berwajib lebih peka dan berperikemanusiaan dalam menguruskan kes-kes membabitkan haiwan-haiwan terbiar di jalanan. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui YB (Yang Berhormat) Ng Sze Han (EXCO Selangor) telah memohon maaf atas tindakan kasar anggota MPSJ terbabit,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dimuat naik pada akaun Facebook Selangor Royal Office, petang semalam.
Justeru, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, baginda berharap prosedur penangkapan haiwan jalanan yang ditetapkan seharusnya dipatuhi untuk memastikan kesejahteraan haiwan itu dan juga keselamatan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terbabit. Titah baginda, adalah penting untuk prosedur berkenaan dijalankan dengan sebaik mungkin tanpa menyakiti atau mencederakan haiwan-haiwan terbabit. Pada masa sama, titah baginda, prosedur itu juga perlu diperkemas dan dilaksanakan sesuai dengan situasi-situasi tertentu.
“Buat kesekian kalinya saya mohon semua pihak, tidak kiralah kakitangan pihak berkuasa atau masyarakat secara amnya, supaya menyemai sifat belas kasihan terhadap haiwan-haiwan terbiar yang memerlukan bantuan.
Harus diingat, Akta Kebajikan Haiwan 2015 jelas memperuntukkan bahawa hukuman denda RM20,000 hingga RM100,000 dan atau penjara sehingga tiga tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang melakukan kekejaman terhadap haiwan. Sebagai Penaung Diraja kempen Stray Free Selangor The Humane and Compassionate Way bersama SPCA Selangor, saya menggesa pihak berkuasa terbabit agar bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat yang prihatin, ke arah membanteras sebarang bentuk perlakuan kejam terhadap haiwan,” titah baginda.
Klip video itu yang tular minggu lalu antara lain memaparkan tindakan beberapa kakitangan PBT itu cuba menangkap seekor anjing liar dari bawah sebuah kereta sebelum dihalang seorang lelaki manakala seorang wanita yang dipercayai merakamkan kejadian itu, kedengaran menangis dan merayu supaya kakitangan terbabit melepaskan haiwan berkenaan.
Wanita itu juga kedengaran menyatakan anjing berkenaan, yang dipercayai diberi makan olehnya, tidak menggigit, namun tidak diendahkan kakitangan terbabit. – BH Online