M Update, 14/10/2019 – Akta baharu bagi mengawal pasaran vape atau rokok elektronik menggunakan cecair tanpa nikotin kekal memperuntukkan larangan penjualan kepada individu bawah 18 tahun.
Dasar tiada kompromi kerajaan terutama dalam merangka mekanisme kawalan terhadap aspek kesihatan membabitkan golongan bawah umur itu selari dengan kebimbangan masyarakat mengenai kandungan sebenar cecair rokok elektronik dan vape di pasaran. Akta baharu itu bermakna, semua jenis produk rokok sama ada konvensional dan elektronik di negara ini menetapkan garis panduan sama iaitu dilarang keras dalam kalangan murid serta pelajar sekolah.
Menegaskan perkara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata penggubalan perundangan baharu berkenaan kini di peringkat penelitian Jabatan Peguam Negara dan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
“Kita menyedari wujud kajian terkini yang menunjukkan kesan sampingan susulan penggunaan rokok elektronik dan vape, termasuk beberapa kematian yang dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).
“Satu kajian terperinci perlu dibuat untuk meneliti semula keperluan dalam menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik dan vape secara menyeluruh. Jawatankuasa kerja pakar sudah ditubuhkan dan dipengerusi oleh Timbalan Menteri Kesihatan (Dr Lee Boon Chye) bagi mengkaji semula bentuk kawalan yang akan diambil,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) mengenai usaha kerajaan mempertimbangkan langkah penguatkuasaan penjualan rokok elektronik dan vape scara menyeluruh, selain membendung penjualan produk berkenaan dalam kalangan pelajar.
Kepada soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai kepentingan menyeimbangkan usaha menjana pendapatan negara menerusi cukai dan ‘menghalalkan’ penggunaan vape, Dzulkefly berkata, ia harus bersandarkan beberapa faktor seperti berkaitan isu moral serta fiskal.
Langkah mengenakan cukai terhadap penjualan vape di pasaran tidak wajar mengetepikan aspek kepentingan menangani isu kesihatan yang terbukti bakal merudum jika produk sedemikian terus dibiar berleluasa dalam kalangan masyarakat.
“Pada 2016, kementerian melakukan kajian membabitkan 13,162 responden dalam kalangan pelajar sekolah berumur 10 hingga 19 tahun, selain merangkumi 4,288 orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas. Hasil kajian mendapati 300,000 remaja sekolah, masing-masing 250,000 lelaki dan 50,000 perempuan adalah pengguna semasa rokok elektronik serta vape.
Selain itu, seramai 700,000 remaja bersekolah pernah mencuba rokok elektronik dan vape walaupun sekali, manakala kajian berasingan mendedahkan 600,000 dewasa adalah pengguna rokok elektronik serta vape. Perangkaan ini membimbangkan, justeru kerajaan harus mengorak langkah awal untuk mengawal fenomena ini supaya ia tidak terus membarah,” katanya. – BH Online